Fahmi Zainol anggap medsos penting, gelombang rakyat perlu diteruskan


CALON Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Fahmi Zainol menegaskan bahawa perlunya strategi yang baik diatur di peringkat orang muda bagi memastikan gelombang kebangkitan rakyat terus dikekalkan.

Ketika program 'Debat Ketua AMK' yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani pada Selasa, bekas aktivis pelajar itu berkata gelombang itu penting bagi memastikan rakyat meyakini Pakatan Harapan (HARAPAN) sekaligus memberi mandat kepada gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Beliau memberi contoh beberapa isu sebelum ini yang menyaksikan rakyat akhirnya memilih sebuah kerajaan lain yang diyakini mereka mampu mentadbir dengan lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN).

“Gelombang itu sangat penting. Bagaimana isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) menumbangkan beberapa negeri khususnya BN.

“Kita perlu mengatur strategi yang baik khususnya di peringkat anak muda untuk memastikan gelombang itu wujud di setiap pilihan raya yang akhirnya memberi mandat kepada HARAPAN memerintah negara,” katanya pada program debat yang turut disertai bekas aktivis pelajar, Adam Adli itu.

Mengulas mengenai masa depan Malaysia, Fahmi menyifatkan demokrasi di negara ini masih belum matang.

Semasa mengulas mengenai salah satu cabaran wawasan 2020 iaitu untuk ‘mewujudkan dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang.’ Fahmi berkata, ia dapat dilihat kepada ketidakadilan dalam sistem kehakiman, fitnah politik, salah guna kuasa polis dan media yang berat sebelah.

Bagaimanapun beliau berpandangan Malaysia masih mempunyai ruang dan peluang mencapainya.
 
“Undang-undang seperti Akta Pencegahan Keganasan (Pota) dan Akta Hasutan, adalah pembantut kepada misi merealisasikan matlamat Wawasan 2020.

“Akta dan undang-undang sebegini diwujudkan atas sebab untuk melenyapkan suara-suara rakyat yang mengkritik, menentang atau menegur kerajaan. Akibatnya kerajaan akan terus berkuasa dan mentadbir dengan sesuka hati tanpa mendengar luahan atau kritikan rakyat di bawah.

“Hal ini sangat bertentangan dengan amalan demokrasi yang sihat.

Fahmi berkata walaupun ada cubaan dari kerajaan untuk menyekat suara-suara dari media sosial, terdapat  arus perubahan yang telah mengalahkan usaha-usaha tersebut kerana rakyat kini lebih cenderung untuk mendapatkan informasi dan berkomunikasi melalui media sosial.

K'jaan perlu dengar luahan dan kritikan rakyat
“Tidak dapat dinafikan peranan media sosial dalam menjadi ruang demokrasi di Malaysia kerana di sini kita dapat melihat pertembungan secara adil apabila kerajaan dan pembangkang mempunyai ruang dan peluang yang sama rata dalam menyampaikan maklumat.

“Rakyat pula boleh menyuarakan apa jua pandangan mereka tanpa rasa gusar atau bimbang dengan ancaman.” jelasnya.

Fahmi menambah bahawa tidak mustahil budaya demokrasi di negara ini dimangkin oleh media sosial.
 

Post a Comment

0 Comments