PASleak : Penafian Ahmad Samsuri tak meyakinkan


KETUA Pemuda Parti Amanah Nasional (AMANAH)  Mohd Hasbie Muda menyifatkan penafian Naib Presiden PAS Samsuri Ahmad berhubung satu dokumen sulit yang bocor yang didakwa mahu mencampuri urusan mahkamah sebagai "sampah' adalah kurang meyakinkan.

Dipetik laporan Malaysiadateline, Mohd Hasbie berkata, walaupun dokumen itu dianggap sebagai ‘sampah’ namun Samsuri telah mengiyakan adanya pertemuan dengan tokoh-tokoh sebagaimana tercatat dalam dokumen tersebut.

“Sehari dua ini kecoh tentang dokumen sulit yang didakwa milik PAS berkisar tentang perancangan dan usaha parti tersebut untuk kekal berkuasa di Putrajaya dengan membuat perbincangan dengan pelbagai pihak.

“Apa yang mengejutkan adalah melalui dokumen ini terbukti, beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan BN didakwa cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan politik masing-masing termasuk mencampuri urusan mahkamah,” katanya.

Terdahulu, satu satu dokumen sulit bertajuk “Laporan political enggagement PAS Pusat” viral, kandungannya antara lain dokumen mendakwa ada cubaan dibuat agar pemimpin Umno dikaitkan dengan 'kluster mahkamah' iaitu Ahmad Zahid dan Najib Razak dipenjarakan segera.

“Political enggagement” ini didakwa dilakukan oleh dua pemimpin kanan PAS iaitu Ahmad Samsuri sendiri dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Menurut dokumen dinamakan sebagai 'PASleak' itu, kedua-dua pemimpin ini bertemu pemimpin beberapa parti politik termasuk Datuk Seri Azmin Ali (24 Mac), Tun Dr Mahathir (27 Mac), Datuk Dr Ahmad Masrizal (4 April), Datuk Seri Hamzah Zainudin (4 April) dan Datuk Seri Hishamuddin Husein (7 April).

Bagaimanapun, Samsuri  menganggap dokumen itu sebagai “sampah” dan menzahirkan rasa hairan kerana ada pihak yang percaya bahawa dokumen tersebut sebagai sesuatu yang benar.

Dokumen didakwa ada kaitan dengan PAS jadi kontroversi
Namun disebalik penafian itu, peguam mewakili Zahid, Hisyam Teh Poh Teik telah membuat laporan polis bagi mengesahkan sama ada terdapat percubaan untuk menjejaskan integriti sistem kehakiman

Sementara itu menurut Mohd Hasbie, memandangkan intipati kandungan dokumen tersebut sangat berkait rapat dengan masa depan negara serta kebebasan institusi kehakiman negara, penafian tegas oleh pimpinan utama PAS iaitu presidennya, Abdul Hadi Awang amatlah dituntut.