SEORANG Ahli Parlimen menggesa Putrajaya membentangkan kertas putih mengenai perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) daripada anak syarikat Boustead Holdings yang telah lama tertangguh.
Melalui satu kenyataan, Wong Hon Wai (HARAPAN-Bukit Bendera) berkata kertas putih itu harus merangkumi semua aspek perolehan, termasuk lebihan kos, sebab kelewatan dan ketirisan yang terlibat dalam projek itu.
Wong berhujah bahawa kertas putih itu perlu kerana Malaysia mempunyai reputasi rasuah melibatkan sektor pertahanan, memetik indeks integriti pertahanan (GDI) Transparency International untuk 2020 yang memberikan Malaysia gred "D".
Malaysia berada di belakang negara jiran Filipina dan Singapura yang diberi gred “C” (risiko sederhana rasuah), manakala Taiwan adalah satu-satunya wilayah di rantau Asia Pasifik yang menerima gred “B” (risiko rendah).
Beliau turut mengingatkan pembentangan kertas putih adalah amalan parlimen di mana kerajaan menerangkan keputusan dasar dan menjemput maklum balas orang ramai.
"Adalah perlu bagi kerajaan untuk mendedahkan jumlah keseluruhan dana awam yang telah digunakan untuk projek LCS dan berapa banyak lagi yang diperlukan untuk menyiapkan projek itu," jelasnya.
Boustead Naval Shipyard diberi projek perolehan itu pada 2011. Pada masa itu, menteri pertahanan ialah Ahmad Zahid Hamidi dan menteri kewangan ialah Najib Abdul Razak. Zahid digantikan oleh Hishammuddin Hussein pada 2013.
Kapal itu sepatutnya dihantar pada 2019. Bagaimanapun, pada September 2020, Parlimen diberitahu bahawa RM5.94 bilion telah dikeluarkan tetapi kerja-kerja kapal itu belum dimulakan.
Minggu lalu, kabinet berjanji untuk menyelesaikan projek yang telah lama tertangguh itu bagi memenuhi keperluan tentera laut Malaysia dan tanggungjawab terhadap 400 vendor yang terlibat dalam projek itu.
![]() |
Hampir RM6 bilion dibelanjakan, tapi kapal tak siap |
JKSTUPKK, yang ditubuhkan pada Mei 2018, diketuai bekas ketua juruaudit negara Ambrin Buang, yang memberi penerangan kepada perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad mengenai masalah yang melibatkan projek itu.
0 Comments