KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bimbang atas Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Hakim Mahkamah Rayuan Nazlan Mohd Ghazali.
Melalui satu kenyataan, Anwar melihat tindakan itu sebagai cubaan memberi tekanan dan campur tangan politik dalam institusi kehakiman.
“Adalah dikhuatiri hebahan sebegini akan dianggap sebagai tekanan dan campur tangan politik.
“Ini ditetapkan untuk memastikan agar wujud pembahagian kuasa yang jelas di dalam sistem yang ada. Justeru, campur tangan SPRM melanggar prinsip ini,” katanya.
Anwar turut mengingatkan bahawa institusi kehakiman sendiri mempunyai badan yang menyelia dan mengawal integriti hakim.
Pada Jumaat, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, mengesahkan pihaknya membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Nazlan memiliki RM1 juta dalam akaunnya yang tidak dapat dijelaskan.
Katanya, SPRM membuka kertas siasatan selepas menerima “beberapa laporan” dan bukan disebabkan dakwaan dibuat dalam portal atau media sosial.
Nazlan membuat laporan polis berhubung tuduhan itu sambil berkata, ia adalah “palsu, tidak berasas dan berniat jahat” serta bertujuan menjatuhkan kredibilitinya sebagai hakim Mahkamah Rayuan.
![]() |
Hakim Nazlan merupakan hakim kes Najib Razak |
Dalam pada itu, Anwar berkata, integriti dan kebebasan badan kehakiman kelihatan beransur pulih akibat dari kecelaruan dan ketempangan berdekad-dekad lamanya tanpa ada usaha serius pemerintah untuk membetulkannya.
0 Comments