Adakah SPRM teliti kesahihan laporan sebelum siasat hakim?


SURUHANJAYA
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipersoalkan apakah sudah mengesahkan dakwaan dalam laporan terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Nazlan Mohd Ghazali sebelum memulakan siasatannya.


Perkara itu dibangkitkan Timbalan Pengerusi DAP yang juga seorang peguam, Gobind Singh Deo melalui hantaran di Facebooknya.

“Adakah aduan itu sudah disahkan dalam kes ini sebelum memulakan siasatan?” soalnya.

Gobind yang juga merupakan Ahli Parlimen Puchong berkata,  SPRM perlu mengesahkan fakta dalam laporan sebelum boleh memulakan siasatan mengikut Akta SPRM.

Beliau memetik Seksyen 29(3) akta itu yang menyatakan: Jika seseorang pegawai suruhanjaya mempunyai sebab untuk mengesyaki pelakuan suatu kesalahan di bawah akta ini berikutan aduan yang dibuat mengikut Subsekyen (1), dia hendaklah menyiasat dan bagi maksud itu boleh menjalankan segala kuasa penyiasatan yang diperuntukkan di bawah akta ini dan Kanun Tatacara Jenayah.

“Peruntukan itu adalah untuk memastikan aduan dibuat sudah mempunyai asas sebelum siasatan dimulakan terhadap penama dalam laporan.

“Ia menetapkan kewajipan ke atas SPRM, yang menjadi prasyarat penting untuk siasatan dijalankan terhadap individu berkenaan.” tegasnya sambil mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki memberikan maklum balas.

“Azam Baki mesti menyatakan sama ada suruhanjaya itu sudah mengesahkan perkara yang dinyatakan dalam laporan terhadap hakim terlebih dahulu.

 Nazlan adalah Hakim yang mensabitkan Najib
“Jika ini tidak dilakukan, hakim berkenaan tidak boleh disiasat kerana asas aduan belum dapat dipastikan,” katanya lagi.

Nazlan adalah hakim yang mendapati bekas perdana menteri, Najib Razak bersalah atas tujuh pertuduhan berkaitan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International pada 28 Julai 2020.
 
Beliau membuat laporan polis minggu lalu berhubung artikel berita yang mendakwa dirinya disiasat susulan sejumlah wang yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun banknya.

Post a Comment

0 Comments