Semoga Lim Guan Eng belajar - Nik Nazmi


LIM GUAN ENG sepatutnya mengelak daripada mengulas mengenai hal dalaman parti KEADILAN, kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam kenyataan di laman Facebooknya, Nik Nazmi menegaskan apa-apa kenyataan oleh Setiausaha Agung DAP itu berhubung isu dalam KEADILAN hanya akan mengundang spekulasi dan kontroversi.

"Saya faham selalunya media akan ‘menjolok’ kita dengan soalan-soalan yang nakal berkaitan parti lawan atau kawan.

"Sebagai orang yang telah lama berkecimpung dalam dunia politik, saudara Guan Eng sepatutnya faham KEADILAN mempunyai prosesnya tersendiri - termasuklah kaedah pemilihan kepimpinan parti.

"Sepatutnya beliau mengelak mengulas sesuatu yang hanya akan mengundang spekulasi dan kontroversi berkenaan KEADILAN," kata Nik Nazmi.

Beliau sebelumnya mengulas wawancara Guan Eng oleh portal malaysiakini. Guan Eng mencadangkan agar Rafizi Ramli mencabar Anwar Ibrahim bagi jawatan tertinggi dalam parti itu berbanding jawatan sebagai timbalan presiden.

Tak perlu komen berlebihan hal parti lain
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, dia sendiri dan rakan-rakan dalam KEADILAN tidak akan memberikan komen berlebihan berkenaan hal dalaman DAP.

"Lebih-lebih lagi memberitahu pemimpin-pemimpin muda DAP apa yang mereka harus lakukan dalam hal pemilihan parti.

"Semoga saudara Guan Eng akan mengambil pelajaran dalam hal ini," katanya.

Post a Comment

0 Comments