PRN Johor rekod paling banyak kesalahan parti politik- BERSIH


GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mendakwa prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) Johor baru-baru ini memberi kelebihan kepada parti pembangkang dan sebaliknya kepada calon pembangkang.

Dakwaan itu dikemukakan badan bebas itu dalam laporan pemerhatian PRN Johor ke-15.

Kata mereka, had 100 orang untuk ceramah lebih merugikan pembangkang apabila parti atau calon di pihak kerajaan bebas menggunakan jentera dan sumber kerajaan untuk berkempen atas nama program rasmi kerajaan.

“Walaupun SOP untuk kempen pilihan raya kali ini dengan kebenaran untuk mengadakan ceramah, ‘walkabout’, ziarah rumah ke rumah dan pengedaran risalah, namun kami mendapati bahawa SOP ini menguntungkan parti/calon yang berada di pihak kerajaan dan merugikan parti/calon pembangkang,” kata mereka.

Selain isu berkaitan SOP itu, BERSIH turut membangkitkan masalah  pemilih positif Covid-19  yang tidak dibenarkan mengundi.

Tegas mereka, tindakan menghalang pengundi terbabit menjalankan tanggungjawab demokrasi mereka adalah bertentangan dengan Perkara 119 perlembagaan persekutuan.

“Semua rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih berhak membuang undi mereka dalam pilihan raya.

“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) seharusnya bertegas untuk membenarkan pesakit Covid-19 membuang undi dan menyediakan kemudahan yang bersesuaian kepada mereka agar dapat melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat mereka,” katanya.

BERSIH turut membangkitkan isu berkaitan salah laku dan kesalahan pilihan raya. Pegawai Program Bersih 2.0, Mohd Asraf Sharafi berkata, sebanyak 71 laporan direkodkan iaitu meningkat lebih banyak berbanding PRN Melaka sebanyak 35 kesalahan dan PRN Sarawak 59 kesalahan termasuk rasuah

Tindakan Perikatan Nasional (PN) menjamu dan mengagih pemberian direkodkan mereka sebagai kesalahan tertinggi dilakukan dengan 33 kesalahan.

“Antara contoh kesalahan dilakukan PN adalah pembukaan Gerai Prihatin pada 4 Feb di Pasar Tani Pagoh dan jamuan makan malam anjuran sebuah persatuan Cina di Austin International Convention Center, Johor Bahru yang dihadiri lebih 800 orang.

“Pemerhati Bersih 2.0 sempat menyaksikan satu kesalahan sebagai kesalahan rasuah yang dilakukan di luar pusat pengundian Sekolah Kebangsaan (SK) Serkat di dalam DUN N.56 Kukup oleh jentera Barisan Nasional (BN),” kata Mohd Asraf.

BERSIH turut merekodkan sebanyak 11 kesalahan penggunaan jentera serta sumber kerajaan, mereka mendakwa ia paling banyak dilakukan Barisan Nasional (BN) dengan sembilan kesalahan manakala dua kesalahan lagi dilakukan oleh PN.

Selain itu, sebanyak 13 kesalahan membuka pondok panas dan perayu undi diperhatikan oleh pemantau BERSIH.

“BN paling banyak membuka pondok panas dan merayu undi walaupun ada antaranya berjarak lebih 50m dari pusat pengundian. Malah ada pondok panas yang dibuka di dalam rumah orang tua yang berjarak lebih sedikit dari 50m dari pusat pengundian di SJK (C) Tampoi di DUN Kempas,” katanya.

SOP ditetapkan rugikan calon pembangkang
Bagi kesalahan mengangkut pengundi ke pusat pengundian, BERSIH merekodkan sebanyak lima kesalahan parti politik yang kebanyakannya dilakukan oleh BN dan KEADILAN.

“Pengangkutan pengundi adalah satu kesalahan bawah Seksyen 20 Akta Kesalahan Pilihan Raya,” kata mereka yang merekodkan 71 laporan kesalahan dilakukan parti bertanding di 21 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Post a Comment

0 Comments