AHLI PARLIMEN Segambut, Hannah Yeoh dilapor mengemukakan saman balas terhadap Kamarul Zaman Yusoff berhubung dua hantaran yang mendakwa dia cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian.
Memetik laporan Malaysiakini, Hannah memfailkan saman fitnah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Feb lalu.
Menurut salinan pernyataan tuntutan saman sivil Yeoh, bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu memfailkan saman terhadap dua hantaran Facebook Kamarul pada 10 dan 17 Mei 2017.
Hantaran pertama bertajuk 'Hannah Yeoh contoh hipokrasi terbesar DAP', manakala satu lagi bertajuk 'Laporan polis saya terhadap Hannah Yeoh'.
Hannah mendakwa dua hantaran FB oleh kolumnis media rasmi PAS-Harakah itu sangat tidak bertanggungjawab, berunsur skandal, keji dan telah sengaja diterbitkan oleh Kamarul untuk menyemarakkan perasaan benci dan marah terhadapnya.
Tambahnya, Kamarul telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai ahli akademik untuk mengeluarkan kenyataan bermotifkan politik terhadapnya.
“Plaintif (Yeoh) memplidkan bahawa agenda defendan (Kamarul) secara menyeluruh terhadap plaintif adalah berniat jahat dan bermotif politik,” dakwanya.
Terdahulu Kamarul memfailkan saman fitnah lebih awal terhadap Yeoh berhubung catatan Facebook yang ditulis wakil rakyat DAP itu pada September 2020 yang memaparkan Yeoh dan poster dengan tulisan "Peranan Umat Kristian Dalam Pembangunan Negara”.
Pada 17 Mei 2017, Kamarul juga membuat laporan polis terhadap Yeoh berhubung buku biografinya yang bertajuk ‘Becoming Hannah'.
Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu turut menuduh Yeoh, yang ketika itu merupakan speaker DUN Selangor cuba berdakwah agama Krsitian dan didorong oleh "agenda Kristianisasi".
Sementara itu Hannah dalam writ samannya terhadap Kamarul menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Selain itu Yeoh juga meminta pensyarah itu membuat penarikan dan permohonan maaf secara awam tanpa syarat.
![]() |
Hannah dakwa tuduhan Kamarul berniat politik |
Sementara itu dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 18 Mac terhadap saman Yeoh, Kamarul membangkitkan mengenai pembelaan justifikasi.
Berhubung pembelaan justifikasi tersebut, kamarul mendakwa bahawa catatan Facebooknya pada 10 Mei 2017, tidak merujuk kepada Hannah tetapi kepada parti politiknya iaitu DAP.
0 Comments