KERAJAAN diketuai Ismail sabri Yaakob digesa mengambil pendekatan serius bagi menangani isu berhubung urusan haji dan umrah.
Gesaan itu disuarakan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahin susulan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri yang berkata penerbangan semula jemaah umrah ke Arab Saudi tidak semestinya dilaksana pada 8 Feb depan.
Dalam kenyataan, Anwar menegaskan bahawa pelbagai isu berkaitan Umrah telah dibangkitkan dan ia adalah berpunca daripada masalah dasar dan perencanaan kerajaan.
"Ketiadaan libat urus dan penyelarasan yang serius antara Kementerian Pelancongan dan pemain-pemain lapangan seperti agensi-agensi pelancongan yang menguruskan urusan haji dan umrah sangat mengecewakan tatkala beban yang ditanggung mereka memberi kesan yang sangat besar.
"Ini membuktikan ia adalah masalah ‘decision making’ (membuat keputusan) yang sangat lemah di pihak kementerian-kementerian terlibat yang tidak membuat keputusan yang jitu dan tuntas," katanya.
Anwar yang juga merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen sebelumnya menerima kunjungan daripada delegasi Gabungan Pengendali Umrah.
Kerajaan dilapor menangguhkan sementara kebenaran perjalanan ibadah umrah berkuat kuasa 8 Jan sebelum ini susulan penularan varian Omicron Covid-19.
Nancy kemudian mengumumkan keputusan Kabinet membenarkan umat Islam untuk ke tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadah umrah mulai 8 Februari ini.
Bagaimanapun, media pada semalam melaporkan Nancy sebagai berkata penerbangan semula jemaah umrah ke Arab Saudi tidak semestinya dilaksana pada 8 Feb depan kerana banyak perkara yang perlu dimuktamadkan sebelum penerbangan dibuat.
Anwar terima banyak aduan kelemahan k'jaan |
"Saya tidak kata boleh terus terbang, tetapi ikut perkataan, boleh bermula," katanya seperti dilapor Astro Awani.