Ada usaha tutup isu dalam SPRM?


SEORANG pemimpin vateran mempersoalkan apakah terdapat usaha untuk menutup isu yang melanda Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Lim Kit Siang yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri mempersoalkan pendirian jawatankuasa pemantau SPRM apabila mereka dilihat gagal mengambil tindakan berikutan peletakan jawatan ahli ekonomi, prof Edmund Terence Gomez daripada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

Gomez meletakkan jawatan selepas mendakwa panel tersebut gagal bertindak terhadap dakwaan pemilikan kira-kira dua juta unit saham oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki dalam sebuah syarikat senarai awam.
 
Gomez sebelum ini berkata bahawa beliau telah membangkitkan isu itu beberapa kali dengan pengerusi PPPR, Borhan Dolah dan Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Abu Zahar Ujang tetapi tidak diendahkan.

Borhan sebaliknya membidas Gomez dengan memintanya supaya tidak menggunakan panel itu untuk "agenda politik",

Abu Zahar pula dalam temu bual dengan Sinar Harian mencadangkan agar Azam bersemuka dengan Gomez.

Mengulas perkara itu, Kit Siang menyifatkan Abu Zahar jelas tidak faham kerana isu berkenaan adalah membabitkan Azam dan bukannya Gomez.

"Peletakan jawatan Gomez yang mengejutkan hanya menyoroti isu membabitkan Azam.

"Selama lebih dua bulan, dakwaan serius telah dibuat terhadap Azam, menjejaskan peranan dan tugasnya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM, malah, menimbulkan keraguan terhadap usaha antirasuah SPRM," kata pemimpin DAP itu.

Beliau turut mempersoalkan mengapa Azam masih belum menjawab dakwaan itu dan tiada tindakan diambil oleh jawatankuasa pemantau SPRM.

Jangan ada usaha tutup isu hangat dari rakyat
Tambahnya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob juga tidak mengambil perhatian terhadap isu berkenaan.

“Apa yang telah dilakukan oleh parlimen mengenai dakwaan ini?

"Adakah terdapat kuasa ghaib yang sedang bekerja untuk 'menutup' isu ini, dan adakah 'kuasa ghaib' ini sampai ke parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri?" katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments