T'ganu dan K'lantan mula dilanda bah


BEBERAPA kawasan di negeri Pantai Timur dilaporkan telah mula dilanda banjir dengan Dungun menjadi daerah pertama dilanda banjir gelombang ketiga di Terengganu ekoran hujan lebat berterusan.

Memetik laporan Bernama, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja telah dibuka pada pukul 4 petang tadi dengan 69 mangsa daripada 22 keluarga telah ditempatkan.

Sebelum ini, banjir gelombang kedua melanda negeri itu pada 17 hingga 21 Dis lepas menyaksikan seramai 423 mangsa daripada 122 keluarga dipindahkan ke PPS di Setiu, Dungun dan Kemaman.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 856 orang daripada 245 keluarga setakat 6 petang ini, berbanding 501 orang daripada 142 keluarga, tengah hari tadi.

Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), 11 PPS dibuka melibatkan dua jajahan iaitu tujuh di Jeli dan empat di Kuala Krai.

Dua sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Lanas di Air Lanas, Jeli dengan merekodkan bacaan 29.58 meter (m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob, Tanah Merah (23.69 m).

Beberapa kawasan di Jeli antaranya kampung Sungai Satan, Bukit Lakota, Lubok Bongor, Pasir Dusun dan Gemang.

Di Kuala Krai, fenomena kepala air di Lata Berangin pagi tadi menyebabkan beberapa kampung berdekatan iaitu Lata Berangin dan Mengkebang, dinaiki air.
 
Dalam perkembangan sama di Pahang petang tadi, air Sungai Tembeling dilapor mulai melimpah ke Kampung Bantal, Hulu Tembeling selepas hujan renyai berlarutan sejak awal pagi.

Air dari Jeli melimpah ke Kuala Krai
Siren amaran berbunyi pada pukul 5.30 petang tadi, menandakan paras air mencapai paras berjaga-jaga sebagai amaran untuk penduduk kampung untuk bersiap sedia menghadapi limpahan dan banjir.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini telah mengeluarkan amaran cuaca peringkat bahaya iaitu hujan sangat lebat berterusan yang dijangka dialami 11 kawasan di tiga negeri pantai timur Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang hingga esok.

 

Post a Comment

0 Comments