PRN S'wak: Peratusan mengundi rendah jejas peluang pembangkang


KEENGGANAN Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan undi pos membabitkan 250,000 rakyat negeri itu yang bekerja di Semenanjung didakwa sebagai punca mengapa KEADILAN mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Melalui satu kenyataan, KEADILAN Sarawak berkata, majoriti daripada 250,000 rakyat Sarawak tidak dapat pulang mengundi susulan peningkatan ketara harga tiket penerbangan.

Malah pendemik jelas mereka telah memburukkan lagi keadaan apabila peratusan pemilih yang keluar mengundi Sabtu lalu sangat rendah.
“Tidak ada harga siling dilaksanakan kerajaan bagi memudahkan rakyat Sarawak yang berada di Semenanjung untuk pulang mengundi.

“Selain itu, pandemik Covid-19 dan pelaksanaan pilihan raya pada Sabtu menyebabkan jumlah keluar mengundi adalah rendah,” kata mereka seperti dilapor.

Parti gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang bertanding pada PRN sabtu lalu berdepan prestasi menghampakan.

Berbanding menang di tiga kerusi pada PRN Sarawak 2016, KEADILAN tewas di semua 28 kerusi ditandingi mereka.

Amanah yang bertanding di lapan kerusi mengalami nasib sama, manakala DAP mencatatkan keputusan tidak memberangsangkan apabila hanya menang dua kerusi yang ditandingi mereka.

Selain itu dakwa mereka, antara faktor menyumbang kekalahan parti itu susulan tindakan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menekan pengundi dengan sengaja melaksanakan pilihan raya sebelum Undi18, berkuatkuasa.

“Kesannya, sejumlah 150,000 pengundi muda terlepas peluang untuk mengundi pada pilihan raya kali ini,” katanya.

KEADILAN turut mendakwa politik wang di beberapa kawasan tertentu telah memburukkan lagi keadaan.

“Kami sudah melaporkan insiden ini kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan SPR dengan kami sedang menunggu tindakan selanjutnya daripada badan berkuasa berkenaan,” kata mereka.

Dalam perkembangan lain, DAP turut melihat penurunan kadar keluar mengundi telah memberi impak kepada calon-calon mewakili parti dalam HARAPAN.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, DAP berkemampuan menang lima lagi kerusi – Pujut di Miri, Bukit Assek dan Pelawan di Sibu, Tanjung Datu di Bintulu dan Kota Sentosa di Kuching.

Peratusan keluar mengundi mengecewakan
“Kami kalah di Tanjung Datu dengan 23 undi, Pelawan dengan 100 undi dan Bukit Assek dengan 843 undi.

“Pada 2018 (pilihan raya umum), jumlah keluar mengundi adalah 71.7%, namun semalam (Sabtu) hanya 60%. Jika tidak kerana jumlah keluar mengundi rendah dan Covid-19, lebih ramai pengundi akan keluar," katanya dipetik satu laporan media.

Post a Comment

0 Comments