Najib cuba lengah keputusan, kata pihak pendakwaan

 



PIHAK pendakwaan dalam kes rasuah bekas Perdana Menteri, Najib Razak menyifatkan percubaan Ahli Parlimen Pekan itu mengemuka bukti baharu dalam rayuannya sebagai usaha bagi melenggahkan keputusan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed melalui afidavit berkata semua bukti telah dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Rayuan untuk memutuskan rayuan Najib, justeru tidak terdapat lagi bukti tambahan yang berkaitan diperlukan bagi melupuskan kes itu dengan seadil-adilnya.

“Pendakwaan berhujah permohonan ini adalah bagi melengah-lengahkan keputusan rayuan (bagi kes pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan) dengan membuka semula keseluruhan kes seperti yang dapat dilihat dalam perintah yang dipohon.

“Saya menafikan bahawa pendakwaan telah menyembunyikan sebarang fakta yang relevan berhubung pertuduhan semasa perbicaraan atau proses rayuan di hadapan Mahkamah Rayuan.

“Malah bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz telah ditawarkan kepada pembelaan di akhir kes pendakwaan. Bagaimanapun, pemohon (Najib) telah memilih untuk tidak memanggil atau menemu bual Zeti bagi tujuan memanggilnya sebagai saksi untuk membuktikan kes pembelaan,” katanya seperti dipetik laporan Bernama.

Keputusan rayuan Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta membabitkan kes dana syarikat SRC International berjumlah RM42 juta dijadualkan pada Rabu ini.

Pada Rabu lalu, Najib, 68, memohon untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu antaranya membabitkan penglibatan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar yang dikatakan bersekongkol dengan Jho Low atau Low Taek Jho.

Dia turut mahu Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan agar keterangan viva voce (lisan) diambil daripada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, Pegawai Penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes SRC dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Najib berkata beliau membuat permohonan itu susulan siaran akhbar oleh SPRM pada 19 Nov lepas berhubung aset dana 1MDB antaranya dari Singapura yang menyaksikan kerajaan republik itu telah memulangkan sejumlah AS$15.4 juta kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) milik Tawfiq.

Budiman sementara itu berhujah Najib boleh membuat permohonan itu pada Januari tahun ini kerana sudah tahu mengenai isu akuan berkanun dibuat oleh suami Zeti iaitu Tawfiq Ayman dan dua anak lelaki mereka pada Disember 2020,  

“Tidak ada akuan berkanun yang dibuat oleh Zeti berkaitan perkara ini. Pemohon boleh membuat permohonan ini pada Januari lepas sebelum pendengaran rayuan bermula pada 5 April.

“Bagaimanapun, Najib mengambil masa selama 11 bulan dan beberapa hari sebelum Mahkamah Rayuan dijadual membuat keputusan berhubung rayuannya untuk memfailkan permohonan ini. Ini merupakan satu tindakan untuk melengah-lengahkan yang disengajakan dan ketidakrelevanan bukti yang kononnya baharu menunjukkan bahawa ini adalah satu permohonan yang berniat jahat,” katanya.

Keputusan rayuan Najib sepatutnya pada Rabu
Budiman juga berhujah perkara yang dipohon tidak mempunyai kaitan dengan rayuan dan tidak terdapat hubungan antara bukti tambahan yang dipohon dengan pertuduhan terhadap Najib.

“Hanya Najib dan bukan Jho Low, Nik Faisal atau Azlin, telah mendapat manfaat daripada RM42 juta dana SRC sebagaimana yang diputuskan oleh mahkamah yang mendengar perbicaraan kes itu,” katanya sambil menambah bahawa atas semua alasan ini, beliau meminta mahkamah agar menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu pada peringkat ini.

Post a Comment

0 Comments