Keluhan guru: KPM digesa bersikap lebih terbuka


KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) digesa bersikap lebih terbuka serta menyediakan saluran khas bagi membolehkan guru-guru menyatakan pandangan berhubung permasalahan mereka.

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui Pengerusinya, Dr Maszlee Malik berkata, ada laporan bahawa beberapa orang guru telah dipanggil Unit Integriti KPM kerana mengeluarkan pendapat kritikal agar kementerian itu menambah baik perkhidmatan dan pelaksanaan polisi khususnya berkaitan beban guru.

Menurutnya, isu yang dibangkitkan oleh guru-guru yang terlibat bukanlah isu politik, salah laku (pecah amanah) mahupun gangguan seksual yang mampu menggugat profesionalisme seorang guru.

Justeru beliau mencadangkan supaya satu saluran khas diwujudkan bagi golongan itu menyatakan pandangan mereka.

“Isu yang dibangkitkan adalah masalah asas sebenar yang berlaku di peringkat bawahan dan diangkat oleh guru-guru terlibat supaya pihak atasan lebih cakna untuk melakukan penambahbaikan.

“Malangnya KPM telah mengambil tindakan seolah-olah guru-guru terlibat melakukan kesalahan besar sehingga mereka dikenakan tindakan punitif,” kata bekas Menteri Pendidikan itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu tambah Maszlee, saluran yang disediakan nanti membolehkan guru menyampaikan pandangan mahupun kritikan kepada KPM untuk diambil tindakan.

“Di samping itu JKPPH juga mencadangkan agar para guru dapat menyalurkan juga pendapat dan aduan mereka kepada JK Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Malaysia agar JK Pilihan tersebut dapat membawanya ke pihak KPM,” katanya lagi.

Keluhan guru wajar diambil perhatian


Ketika pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendakwa tidak dimaklumkan mengenai perubahan manual terbaharu PdPR 2.0, sekali gus mengundang keluhan ramai guru.


Kekecewaan guru itu terbukti apabila ramai yang turut menyuarakan keluhan mereka terhadap PdPR 2.0 di media sosial.

Post a Comment

0 Comments