Bimbang kleptokrasi kembali, Amanah mahu MoU dikaji semula


PENGARAH Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Khalid Samad berkata bahawa partinya akan mengesyorkan supaya Pakatan Harapan (HARAPAN) mengkaji kembali keabsahan Memorandum Kesefahaman (MoU) yang telah ditandatangani dengan kerajaan.

Ia susulan kebimbangan golongan kleptokrasi dilihat kembali berpengaruh ke atas pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

"Amanah menyedari kemenangan calon-calon HARAPAN pada PRU ke-14 adalah atas sebab rakyat menolak kleptokrasi dan sifat khianat dalam pentadbiran negara.

"Amanah ingin menegaskan bahawa sekiranya golongan kleptokrasi dilihat kembali berpengaruh ke atas pentadbiran kerajaan Ismail Sabri, maka Amanah akan mengesyorkan supaya  HARAPAN mengkaji kembali keabsahan MoU yang telah ditandatangani," kata Ahli Parlimen Shah Alam itu dalam kenyataan media.

September lalu, HARAPAN menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik  dengan kerajaan.

MoU tersebut merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen serta Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Walau bagaimanapun beberapa isu telah membangkitkan rasa tidak puas hati dikalangan pemimpin pembangkang.

Mungkin sudah masa MoU dikaji semula


Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada November memberi bayangan akan mengkaji semula Mou itu susulan beberapa perkara antaranya isu permohonan pembangunan sebuah rumah untuk diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Najib Razak yang bernilai sehingga RM100 juta yang tidak pernah dibincangkan pihak kerajaan bersama pembangkang.


Selain itu Anwar turut mempertikai beberapa keputusan lain dilakukan terutama ketika rakyat sedang menderita, nasib para doktor kontrak yang masih tidak jelas dan pelbagai isu lain dihadapi golongan B50 di negara ini yang tidak diselesaikan. 

Post a Comment

0 Comments