Bersih gesa Abang Jo berhenti guna jentera k'jaan untuk kempen


BADAN
Pemantau pilihan Raya, Bersih menggesa Pengerusi GPS Abang Johari Openg supaya berhenti menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri sementara dan jentera kerajaan ketika mengadakan kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan.

Dalam satu kenyataan,  Bersih berkata pasukan pemantaunya mendapati banyak salah guna sumber kerajaan yang dilakukan bukan sahaja oleh Abang Johari, malah bekas-bekas menteri Sarawak yang lain bagi tujuan berkempen.

Ia tegas mereka adalah tindakan tidak wajar kerana menggunakan dana awam untuk kepentingan calon dan parti politik.

"Mereka tanpa segan dan malu menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen, malah kerajaan persekutuan juga masih menjemput ketua menteri sementara untuk menghadiri majlis-majlis kerajaan persekutuan," katanya.

BACA: Saifuddin dakwa GPS langgar peraturan pilihan raya


Bersih turut menyenaraikan beberapa contoh, antaranya acara pelancaran Gedong sebagai daerah pada 12 Disember lalu oleh Abang Johari, yang turut menjadi calon bagi kerusi DUN itu.

Begitu juga dengan tindakan penyandang DUN Bukit Begunan Mong Dagang yang menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM50,000 di bilik gerakan GPS, yang menurut Bersih sebagai "terang-terangan kesalahan rasuah dan beli undi".

"Abang Johari perlu segera hentikan penggunaan kedudukan tersebut untuk berkempen dengan membuat pengumuman projek atau peruntukan, merasmikan acara kerajaan dan menandatangani memorandum kesefahaman (MoU) kerajaan negeri untuk sebarang projek.

Jangan guna jentera kerajaan untuk kempen
"Setiausaha Kerajaan Sarawak juga perlu segera keluarkan arahan kepada kakitangan kerajaan negeri untuk melarang mereka membantu kempen GPS dengan menggunakan jentera dan sumber kerajaan negeri termasuklah penggunaan media cetak dan media sosial milik kerajaan," tegas mereka.

Tambah Bersih, Walaupun dalam undang-undang termasuklah Akta Kesalahan Pilihan Raya masih belum meliputi isu tata cara kerajaan sementara, penggunaan jentera dan sumber kerajaan termasuk pengumuman oleh kerajaan sementara melanggar konvensyen kerajaan sementara.

Mereka merujuk kepada Deklarasi Kesatuan Parlimen Antarabangsa, yang menyatakan kerajaan perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk memisahkan peranan parti dan kerajaan.

"Begitu juga dengan Perkara 11 Deklarasi Bangkok yang menyatakan sumber kerajaan yang digunakan untuk mempromosikan kepentingan politik semasa pilihan raya akan menyebabkan proses pilihan raya menjadi tidak adil dan kesahan keputusan pilihan raya boleh dipertikai," kata mereka dalam kenyataan yang turut menggesa SPR untuk bertindak dengan lebih proaktif dan tegas bagi menangani isu salah guna jentera kerajaan.

Post a Comment

0 Comments