Pemimpin PAS selangor mohon maaf daripada Mat Sabu

SETIAUSAHA Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir mengemukakan permohonan maaf susulan satu tulisan disiarkan di portal milik parti itu.

Roslan yang menulis, “Husam: PAN parti diktator” dan disiarkan di Harakahdaily memohon maaf kepada Presiden Amanah, Mohamad Sabu setelah tulisannya disedari boleh menyebabkan persepsi tidak baik kepada Ahli Parlimen Kota Raja itu.

Menurut dia, artikel itu ditulis susulan satu laporan di The Malaysian Insight pada 14 September tahun lalu yang bertajuk, “Husam letak jawatan naib presiden Amanah, kata sumber”.

“Saya secara tidak sengaja telah menerbitkan berita yang disiarkan oleh portal The Malaysian Insight yang tidak dipastikan kesahihannya.

“Pun begitu, saya sedar bahawa kandungan artikel tersebut boleh membawa maksud dan pemahaman yang berbeza kepada para pembaca terutamanya kepada YB Mohamad bin Sabu apatah lagi setelah YB Mohamad bin Sabu membuat penafian seperti yang disiarkan dalam satu laporan lain oleh portal The Malaysian Insight pada 15 September 2020,” katanya Roslan.
 
Dalam masa sama, dia turut meminta pihak Harakahdaily menarik balik penyiaran artikel tersebut.

Roslan mohon Mat Sabu maafkan dirinya


“… saya dengan seikhlas hati ingin memohon maaf kepada YB Mohamad bin Sabu sekiranya artikel tersebut mengguris perasaan dan/atau mengaibkan nama baik YB Mohamad bin Sabu.


“Saya juga telah meminta pihak Harakahdaily untuk menarik balik penyiaran artikel tersebut (sekiranya masih disiarkan) dan supaya tidak lagi menggunapakai dan membuat rujukan kepada artikel tersebut di masa hadapan,” katanya lagi.