TEKA teki berkenaan sama ada dua ADUN UMNO yang membatalkan sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka bakal bertanding dibawah tiket Pakatan Harapan (HARAPAN) kini telah terjawab.
Pengerusi gabungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media dalam talian ketika pengumuman calon Amanah dan KEADILAN hari ini mengesahkan bekas Ketua Menteri, Idris Haron dan bekas ADUN Pantai kundor, Nor Azman Hassan dalam senarai calon mereka.
“Kerusi (DUN) Asahan diperuntukkan untuk KEADILAN. Jadi kita terimanya (Idris) sebagai ahli KEADILAN,” katanya dalam sidang media dalam talian.
Nor Azman yang akan bertanding dibawah tiket Amanah akan mempertahankan kerus DUN Pantai Kundor.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Nor Azman memperolehi 5,773 undi ketika bertanding di bawah tiket Barisan Nasional.
Mengulas pencalonan dua bekas ADUN itu, Anwar menegaskan bahawa soal lompat parti tidak timbul kerana DUN Melaka sudah dibubarkan dan semua calon dipilih diminta mendapatkan mandat baharu.
"Tidak ada (calon) yang lompat dikaitkan dengan kita sekarang. Apa yang berlaku ialah inisiatif yang dibuat pimpinan HARAPAN Melaka untuk berunding dengan rakan yang berasakan lemas dengan sistem dan pimpinan UMNO.
"Saya nak jelaskan, kami teliti secara mendalam berhubung kesediaan menerima kawan kita sebagai rakan yang boleh sama-sama mengharungi ujian ini.
"Seterusnya dapat meletakkan asas pentadbiran kerajaan yang kukuh di Melaka dengan gandingan pengalaman pelbagai pihak dan dengan harapan boleh menerobos kawasan tradisi Melayu yang tidak dapat ditembusi sebelum ini," katanya.
Pada sidang media itu juga, Anwar memaklumkan bahawa setakat ini mereka bersetuju bekas Ketua Menteri, Adly Zahari akan mengetuai pasukan bagi pilihan raya ini.
Adly kekal bertanding sebagai calon DUN Bukit Katil.
Sebagai rekod, DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dan pilihan raya kali ini akan menampilkan 11 calon dari KEADILAN, lapan calon DAP dan sembilan dari Amanah.
Semua calon HARAPAN sudah diumumkan |
Farzana mahasiswa jurusan Komunikasi dan Pengajian Media dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan bertanding di kerusi DUN Sungai Rambai.
0 Comments