PENGERUSI parti KEADILAN negeri Melaka Halim Bachik menyifatkan bekas Ketua Menteri, Adly Zahari sebagai individu tepat dan terbaik untuk memimpin pentadbiran di negeri itu.
Halim dalam wawancara dengan portal FMT dipetik sebagai berkata, Adly telah menunjukkan prestasi yang sangat baik sepanjang tempoh perkhidmatannya yang singkat iaitu selama 22 bulan sebelum kerajaan negeri bertukar ekoran 'Langkah Sheraton'.
“Pada dasarnya memang (bagi) kita, Adly adalah yang terbaik (jadi Ketua Menteri),” katanya.
Namun Halim turut menegaskan bahawa pilihan Ketua Menteri oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) sekiranya diberi semula mandat oleh rakyat Melaka hanya akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertingginya.
“Kita kena ambil alih dulu kerajaan pada pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan, baru kita buat keputusan. Keputusan bukan di peringkat negeri, tetapi pusat,” katanya.
Halim mengakui Adly yang merupakan Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil sememangnya mendapat sokongan padu, baik daripada pentadbiran HARAPAN mahupun di peringkat akar umbi.
Sementara itu Halim ketika mengulas peluang HARAPAN mengambil alih semula pentadbiran negeri berkata bahawa beliau merasa ia mampu dicapai.
Ia terutama dijangka berlaku perpecahan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang akan memecahkan undi Melayu, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Kita berkeyakinan tinggi akan menang di kawasan yang ada undi campuran, lebih kurang dalam 18 kawasan. Tetapi kita takkan dapat kemenangan dengan mudah, kena kerja kuat. Kita kena tunjukkan muka.
“Kita akan ada pelbagai cara untuk kempen kali ini. Walaupun pilihan raya bila tiada kempen, tiada seri – tetapi kita ada cara macam mana nak buat untuk selami hati rakyat di bawah,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan rakyat Melaka untuk membuat pilihan bijak pada pilihan raya yang akan diadakan kerana Melaka tegasnya memerlukan pemimpin yang dapat menjaga kebajikan rakyat, terutamanya dari segi kesihatan dan ekonomi.
Tiga penjuru akan untungkan HARAPAN |
“Kita nak cari seorang pemimpin yang faham, yang tahu, yang rasa denyut nadi rakyat.” tambahnya.
0 Comments