Halang wakil calon pantau undi, SPR digesa supaya adil





PIHAK
berkuasa digesa segera menyiasat tindakan seorang pegawai pusat mengundi yang didakwa menghalang seorang wakil calon masuk untuk bagi memantau proses pengundian awal hari ini.

Asri Ibrahim yang merupakan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi DUN Lendu mendakwa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu memulakan proses pengundian tanpa kehadiran pemantau daripada pihaknya.
 
Tambahnya, wakilnya itu yang memegang pas ejen pusat mengundi dan surat kuasa bagi mewakili calon hanya dibenarkan masuk ke pusat mengundi - yang diadakan di Balai Polis Masjid Tanah - pada jam 10 pagi, iaitu dua jam selepas pengundian awal bermula.

"Ini satu pencabulan demokrasi di negara ini. Kita mahu pertandingan yang sihat dalam pilihan raya negeri ini," kata Asri selepas membuat laporan polis tersebut.

Sementara itu beliau mahu SPR berlaku adil dalam tugasnya.

“Kita tidak mahu SPR dijadikan alat oleh pihak tertentu untuk mereka terus berkuasa.

“Ini amaran saya. Saya percaya penting untuk SPR memandang serius perkara ini, kerana proses pengundian awal adalah sangat penting.

“Sebab kawan-kawan kita dalam polis dan angkatan tentera ada kesedaran (mereka boleh pilih), dan jika proses ini diganggu, mungkin ada penyelewengan atau sabotaj,” tambahnya.

SPR perlu adil laksana tanggungjawab mereka
Sebagai rekod, Asri berdepan pertandingan tiga penjuru di Lendu menentang calon Perikatan Nasional (PN) Abdullah Mahadi dan penyandangnya Sulaiman Md Ali, yang calon Ketua Menteri dari Umno.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu mengesahkan ada menerima laporan berhubung isu itu.

Polis katanya menyiasat kes itu mengikut Seksyen 4(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu berkaitan pelanggaran tugas rasmi seorang pegawai pilihan raya.

 

Post a Comment

0 Comments