S'gor akan bentang pindaan Undi 18 hujung bulan ini


SELANGOR bakal membuat pindaan berhubung had umur warganegara yang layak bertanding atau mengundi dalam pilihan raya yang diadakan.

Perkara itu dimaklumkan seorang Exco kerajaan negeri ketika sidang media di Townhall Undi 18 Wacana Pemicuan Undi18 Negeri Selangor di Shah Alam yang diadakan baru-baru ini.

Mohd Khairuddin Othman yang merupakan  Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor menjelaskan, pindaan itu bakal dilaksana susulan kelulusan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 15 Julai 2019 lalu berhubung Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan perenggan (b) untuk menurunkan umur warganegara yang layak bertanding dalam pilihan raya daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan turut dibuat berdasarkan Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan perenggan (a) yang menurunkan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

"Pindaan ini dibuat sebagai menunjukkan sokongan kerajaan negeri yang mendukung penuh inspirasi dan pembangunan belia di Selangor untuk masa depan negeri," katanya.

Sebagai memenuhi inspirasi belia


Difahamkan, kerajaan negeri bercadang untuk membentangkan pindaan itu semasa Sidang Dewan Negeri Selangor pada 26 November ini.


Program Townhall Undi 18 Wacana Pemicuan Undi18 Negeri Selangor dianjurkan kerajaan negeri bagi mendekati pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan-persatuan belia.

Ia bagi mendapat pandangan berkenaan Undi18 serta belia menjadi calon di Selangor.

Selain itu, kerajaan negeri juga difahamkan akan mengadakan program-program mendekati golongan belia bagi menyemai minat dan kesedaran mereka terhadap politik mulai tahun hadapan.

"Bermula tahun depan, kita akan turun padang dan mendekati persatuan-persatuan belia di peringkat daerah.

"Kerajaan negeri akan turun ke daerah-daerah di Selangor untuk menyemai minat belia terhadap politik kerana kecenderungan mereka agak rendah ," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments