Anwar ‘belasah’ Zafrul kerana tak jawab soalan


MENTERI KEWANGAN
, Tengku Zafrul Aziz didakwa  sengaja tidak mahu menjawab beberapa persoalan yang diajukannya kepada kementerian tersebut.


Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata begitu susulan banyak soalan tidak dijawab termasuk mengenai projek pengambilalihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang yang bernilai 'berbilion" ringgit.

“Menteri kewangan tidak menjawab banyak soalan yang dibangkitkan. Saya mohon diberi penjelasan unjuran jumlah hasil kerajaan lebih tinggi ketimbang 2019, tetapi tidak diberi penjelasan oleh menteri kewangan," katanya.

Beliau turut menyebut soalan-soalan lain yang tidak dijawab oleh Zafrul antaranya isu berkaitan dengan ketirisan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang sebelum ini dipengerusi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, berdasarkan laporan ketua audit negara, MKN telah melanggar beberapa peraturan kewangan melibatkan kedudukan perdana menteri sebagai pengerusi ketika itu.

Untuk rekod, ketidakpatuhan kementerian dan jabatan Persekutuan terhadap pengurusan kewangan, menyebabkan berlaku isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM620.07 juta pada 2020.

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, daripada RM510.49 juta pembayaran tidak teratur, RM499.19 juta membabitkan bayaran tuntutan perkhidmatan penyenggaraan tanpa pengesahan di Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut membangkitkan isu berkenaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura, sambil menambah bahawa ekuiti 50:50 syarikat yang menjalankan projek itu akan meletakkan negara pada kedudukan tidak menguntungkan.

Beliau turut mahu penjelasan berhubung soalan dikemukakannya mengenai kerajaan memberikan jaminan RM500 juta kepada AirAsia, di mana Malaysia Airlines telah diketepikan.

Dalam perbahasan di Dewan Rakyat juga, Anwar turut mempersoalkan sama ada lesen perjudian itu telah diluluskan oleh Jemaah Menteri, termasuk menteri daripada parti Melayu seperti Umno, PAS dan Bersatu.

Anwar turut mahu penjelasan isu judi
Beliau mendakwa butiran mengenai berapa lesen diluluskan, bila ia diluluskan dan banyak lagi isu dibangkitkan berhubung perkara itu masih tidak berjawab sehingga kini.
 
“Menteri kewangan tidak menjawab banyak soalan yang saya ajukan. Saya harap beliau tidak mengambil mudah perkara ini.

"Jika tidak cukup masa, beliau wajib menjawab secara bertulis. Ini penting kerana ia melibatkan jumlah wang yang besar,” katanya dengan menegaskan bahawa maruah Parlimen tidak boleh dipijak dengan kelakukan sedemikian kerana ia merupakam ruang untuk menjawab dan menegakkan kebertanggungjawaban.



Post a Comment

0 Comments