RAKYAT di negara ini wajar mempersoal tindakan Mahiaddin Md Yassin yang meluluskan kerja-kerja pengubahsuaian kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana di Putrajaya, kata bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
Melalui satu kenyataan, Setiausaha Agung DAP itu berkata, rakyat juga berhak tahu sekiranya wang negara RM38.5 juta bagi kerja pengubahsuaian itu lebih wajar disalurkan untuk tujuan lain terutama usaha memerangi Covid-19, seperti menambah katil unit rawatan rapi (ICU) di hospital atau bantuan kewangan kepada yang memerlukan.
“Demi ketelusan dan akauntabiliti awam, kos terperinci bagi RM38.5 juta kos pengubahsuaian kediaman rasmi perdana menteri perlu didedahkan untuk memberi alasan kukuh terhadap penggunaan dana rakyat sedemikian ketika menghadapi krisis berkembar pandemik Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.
“[...] Selain itu, apakah pengubahsuaian yang diperlukan sehingga mencecah kos yang tinggi?
“Kecuali jika kos tersebut diteliti secara ketat, rakyat berhak untuk bertanya apakah RM38.5 juta tersebut dapat digunakan dengan lebih baik untuk memerangi pandemik Covid-19 dengan lebih banyak katil ICU, rawatan dan ubat-ubatan yang lebih baik atau bahkan bantuan kewangan kepada mereka yang terkesan akibat kemelesetan ekonomi,” katanya.
Kerajaan dikritik setelah Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar di Dewan Rakyat beberapa hari lalu membangkitkan isu pengubahsuaian itu yang menelan belanja cukup besar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Latiff Ahmad mendedahkan bahawa ubah suai Seri Perdana menelan kos RM38.5 juta berbanding sangkaan awal RM30 juta seperti diwar-warkan di media sosial.
Susulan kritikan itu, perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob yang mengambil alih jawatan itu dari Mahiaddin dalam jawapan parlimen menjelaskan pengubahsuaian tersebut penting untuk menjaga imej negara, memastikan keselamatan bangunan dan menjaga status kediaman rasmi perdana menteri. Bagaimanapun jawapan Ismail itu sekali lagi dikritik ramai.
Sementara itu dalam kenyataan sama Lim mempersoalkan apakah proses tender terbuka dilakukan bagi kerja pengubahsuaian berkenaan.
“Bagi projek yang telah diluluskan pada 19 Mac tetapi dapat dijalankan hanya sepuluh hari kemudian, menimbulkan persoalan adakah tender terbuka awam telah dilakukan.
“Sekiranya tidak, maka di manakah kepentingannya sehingga protokol perolehan kerajaan tidak dipatuhi?
“Pada ketika kerajaan kekurangan dana, adakah membelanjakan RM38.5 juta untuk pengubahsuaian adalah diperlukan apabila dana tersebut dapat digunakan untuk membina perumahan awam untuk orang miskin, terutama di kawasan bandar?” soal Ahli Parlimen Bagan itu.
![]() |
Rakyat berhak tanya rasional keputusan Mahiaddin |
Najib Razak mempersoal keputusan Mahiaddin yang meluluskan pengubahsuaian itu di tengah penularan wabak Covid-19.
Kata Ahli Parlimen Pekan itu, pengubahsuaian yang bermula Mac itu berlaku sebulan sebelum kenyataan Muhyiddin bahawa kerajaan "sudah tiada banyak wang" ekoran peruntukan yang dikeluarkan untuk menangani wabak Covid-19.
0 Comments