Siasat kebocoran data dengan telus tanpa campur tangan - HARAPAN


KERAJAAN digesa meneruskan siasatan berhubung kebocoran 4 juta data peribadi awam yang dijual oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan teliti dan telus tanpa melibatkan campur tangan daripada mana-mana pihak.

Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui Jawatankuasa Keselamatan ditubuhkan gabungan itu menegaskan, kebocoran data itu yang membabitkan nama, alamat e-mel, nombor telefon bimbit, alamat tetap, dan nombor kad pengenalan itu merupakan satu pelanggaran keselamatan (security breach) yang serius.

Kebocoran data itu tegas mereka boleh mendedahkan orang ramai kepada risiko  penipuan dan kecurian identiti, serta boleh mengakibatkan keselamatan negara dikompromi.

“Ia juga menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keselamatan dan integriti data yang disimpan di pangkalan-pangkalan data badan-badan awam seperti JPN dan LHDN.

“justeru, keputusan siasatan wajib dimaklumkan kepada orang ramai setelah selesai supaya benar-benar dapat meyakinkan orang ramai bahawa data peribadi mereka masih selamat,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan tersebut ditandatangani antaranya Syed Ibrahim Syed Noh dari KEADILAN, Faiz Fadzil (Amanah) dan Syahredzan Johan (DAP).

Satu forum perbincangan digital baru-baru ini melaporkan bahawa pangkalan data milik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) disenaraikan untuk dijual dalam pasaran forum terkenal.

Empat juta data peribadi awam yang didakwa diperolehi daripada laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri melalui myIDENTITY ditawarkan untuk dijual.

LHDN bagaimanapun menafikan laporan portal berkenaan. Polis membuka kertas siasatan bagi mengenalpasti dakwaan kecurian 4juta data peribadi awam dan tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam.

Jangan ada campur tangan dalam siasatan
Sementara itu, Jawatankuasa itu mencadangkan agar kerajaan melakukan semakan semula keberkesanan dan keutuhan infrastruktur keselamatan bagi maklumat dan data yang disimpan oleh badan-badan awam.

“Sekiranya perlu, infrastruktur keselamatan yang sedia ada perlu dinaiktaraf bagi menghadapi cabaran keselamatan siber pada masa ini,” ujarnya mereka.