Anwar saran tubuh jawatankuasa pantau RMK-12

KETUA Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan sebuah Jawatankuasa Pemilih Parlimen ditubuhkan bagi memantau pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12)

Tegas Anwar, jawatankuasa berkenaan yang terdiri daripada ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang juga boleh berperanan meneliti ketelusan serta kemajuan semua program dan projek RMK12.

"Saya syorkan diwujudkan Jawatankuasa Pemilih Parlimen untuk memantau perjalanan badan kerajaan, juga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) supaya lebih telus dan bertanggungjawab.

"Rancangan dalam RMK12 disebut inklusif, mampan. Namun, bagaimana ini berlaku jika tiada pemantauan dan apa makna memorandum persefahaman (MoU) jika tidak dapat bekerjasama memantau perjalanan,” katanya ketika membahaskan RMK12 di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut perkara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan bahawa jawatankuasa berkenaan penting untuk diwujudkan agar tindakan individu yang mentadbir GLC terlibat boleh dipantau dan dilaporkan di Parlimen.

Justeru beliau berharap cadangan itu dapat pertimbangan khusus daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) kerana beliau telah menunjukkan kesediaannya dan sikap lebih terbuka.

"Tetapi janganlah ini retorik, apabila melibatkan penilaian ia tidak dapat dilakukan," katanya dipetik.

Tubuh jawatankuasa untuk pantau
Terdahulu, Anwar menggesa kerajaan supaya memberi tumpuan kepada  pelaksanaan RMK12.

Fokus utama katanya perlu diberi untuk menjayakan RMK12 dengan menangguh segala projek mega kerajaan dan kembali peruntukan itu untuk memulihkan semula kehidupan rakyat yang terkesan ekoran pendemik Covid-19.

 

Post a Comment

0 Comments