KOS pengubahsuaian kediaman rasmi perdana menteri, Sri Perdana di Putrajaya yang terlalu tinggi mengundang kritikan banyak pihak terutama pemimpin politik pembangkang.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan tindakan kerajaan membelanjakan RM30 juta untuk ubah suai kediaman rasmi perdana menteri, Seri Perdana merupakan satu pembaziran.
“Kenapa kerajaan suka bazir duit untuk pejabat dan kediaman rasmi ni? Sampai RM30 juta?
“Orang tengah susah, lapar dan sakit! Beribu perniagaan kena tutup, orang bankrap, student tak boleh bayar yuran universiti. Bantulah mereka,” katanya dalam hantaran di twitter.
Walau bagaimanapun, kos keseluruhan sebenar projek menaik taraf Kompleks Seri Perdana adalah RM38.5 juta bukannya RM30 juta yang diwar-warkan sebelum ini.
Ia diakui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Dr Abd Latiff Ahmad melalui satu kenyataan merujuk pertanyaan jawab lisan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, mengenai status projek tersebut.
Abd Latiff dipetik laporan media berkata, projek itu diluluskan 19 Mac lalu dibawah pentadbiran Ahli Parlimen Pagoh, Mahiaddin Md Yassin dan mula dilaksanakan 10 hari kemudian.
Sebagai rekod, Mahiaddin dihujung usia pentadbiranya dikritik setelah dilihat gagal membela nasib rakyat yang terkesan dari segi ekonomi dan hidup susulan pendemik Covid-19.
Rakyat yang kelaparan bergantung kepada bantuan rakan dan jiran melalui kempen 'Bendera Putih' digerakkan orang awam.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh ketika mengulas isu itu berkata, kos jutaan ringgit itu boleh membiayai lebih 200,000 bakul makanan di 70 kawasan.
"Dalam keadaan negara berdepan dengan krisis pandemik dan krisis ekonomi sehingga memaksa penjawat awam menyumbang imbuhan milik mereka, tidak patut kerajaan membazirkan sehingga RM30 juta untuk menaik taraf kediaman perdana menteri hanya untuk memastikan imej negara dalam menyambut tetamu utama negara semasa program rasmi.
"Peruntukan tersebut sepatutnya digunakan bagi memperkukuhkan sektor kesihatan mahupun membantu rakyat yang terkesan dari segi ekonomi," kata Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula.
Bagi mewajarkan tindakan pengubahsuaian itu, kerajaan memberi alasan bahawa ia bagi menjamin keselamatan serta menjaga imej negara dalam menyambut tetamu utama negara semasa program rasmi perdana menteri.
Bagaimanapun alasan itu dibidas bekas menteri, Rafidah Aziz yang menyifatkannya pengubahsuaian itu sebagai "pembaziran dana awam semata-mata".
Rafidah berkata, tugas menjaga imej negara terletak di bahu penghuni Sri Perdana, bukan bangunan itu sendiri.
![]() |
Apa rasional ubahsuai Sri Perdana ketika pendemik |
"Ia dicerminkan menerusi penghuni bangunan-bangunan ini, oleh nilai, prinsip, integriti, kejujuran, tahap kebertanggungjawaban, dan sikap mengutamakan kepentingan negara yang dipegang mereka," katanya dalam kenyataan.
0 Comments