Zahid beri bayangan Muafakat Nasional sudah terkubur


PRESIDEN Umno, Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran bahawa kerjasama antara parti itu dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) telah berakhir.

Dipetik laporan Malaysiadateline, Zahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk ketika ditanyakan sama ada Umno mendapat keuntungan untuk kekal dalam kerjasama bersama PAS mempersoalkan kembali sekiranya MN masih wujud.

“Ada ke Muafakat Nasional ni lagi? Kalau apa yang dipanggil oleh netizen bahawa Umno telah dikhianati, saya fikir elok Umno bertanding terus secara solo menggunakan panji-panji Barisan Nasional,” katanya.

Zahid berkata demikian dalam satu bual bicara yang kemudiannya tular di media sosial.

Beliau turut berkata kerjasama dengan parti lain akan dirunding selepas Pilihan Raya Umum (PRU) berlangsung.
 
MN terbentuk secara rasmi melalui piagam ditandatangani Zahid dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.

pembentukan kerjasama dua parti yang kalah pada PRU lalu itu kononnya demi memperkasa agenda penyatuan ummah.

Namun sebagai PAS menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Bersatu yang terbentuk melalui 'Langkah Sheraton' MN dilihat sepi.

Walaupun PAS yang hanya mempunyai 18 kerusi Parlimen berbanding 38 dimiliki Umno telah menyertai PN, Umno bagaimanapun berpendirian untuk tidak bersekutu dengan gabungan berkenaan.

Sikap PAS yang berada dalam dua gabungan parti politik iaitu MN dan PN itu mengundang tanggapan bahawa PAS bermain dua ‘kolam’.

Ada tanggapan PAS main 'dua kolam'
PAS juga dilihat cuba mengambil peluang dalam proses rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU-15. Mereka kembali menyebut tentang MN terutama menjelang penamaan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baru-baru ini.

PAS menganggap partinya sebagai penyatu dengan menegaskan usaha memperkasa MN dan mempertahankan PN yang ditunjangi parti Melayu, namun dilihat mengambil pendekatan berbeza dengan sebuah lagi parti yang menggariskan Islam sebagai asas perjuangan mereka iaitu Amanah.


 

Post a Comment

0 Comments