DUN Melaka bubar, pilihanraya akan diadakan


RAKYAT
Melaka bakal berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi menentukan kerajaan baharu yang bakal mentadbir negeri itu.

Siang tadi, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN Melaka dengan berkata cadangan Ketua Menteri dari Umno Sulaiman Md Ali agar diadakan pilihan raya di peringkat negeri diterima Yang di-Pertua Negeri Mohd Ali Rustam.

Pada Isnin Sulaiman hilang kedudukan sebagai Ketua Menteri setelah empat ADUN diketuai bekas ketua Menteri, Idris Haron, mengumumkan pendirian mereka untuk menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan BN-PN.

Tinjauan di laman sosial hari ini mendapati keputusan untuk mengadakan pilihan raya kurang disenangi warganet.

Mereka mengimbas apa yang berlaku ketika pilihan raya negeri Sabah diadakan pada tahun lalu yang menyaksikan berlaku penularan covid-19 yang membawa kepada apa yang dihadapi negara hari ini.

Cadangan supaya Melaka mengadakan pilihan raya mula dilontarkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi susulan perkembangan semasa semalam.

Ketika berucap di parlimen, Zahid berkata, sewajarnya mandat dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan baru untuk memimpin Melaka.

Cadangan Zahid itu kemudian dikritik Ketua Penerangan KEADILAN Melaka Muhammad Asri Ibrahim yang menyifatkan saranan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebagai dangkal, dilihat seperti kebudak-budakan dan bersifat mementingkan diri tanpa memikirkan implikasi yang akan berlaku kepada rakyat.

"Semasa berlaku krisis pertukaran kerajaan di Perak misalnya, kepimpinan Umno terutama presiden Umno tidak mencadangkan diadakan pilihan raya negeri Perak seperti mana cadangan yang dibuat kepada negeri Melaka.
Bimbang apa yang berlaku di Sabah berulang

"Adakah disebabkan Menteri Besar Perak yang dilantik ketika ini adalah proksi presiden Umno sehingga berlaku cadangan yang tidak konsisten?

"Persoalan ini harus dijawab oleh presiden Umno kerana bahana kepada pilihan raya egeri akan membawa kepada kesan yang buruk dalam tempoh pandemik Covid-19 seperti mana yang berlaku di pilihan raya negeri Sabah," katanya dipetik.

Mengikut perlembagaan, selepas DUN dibubarkan sebuah pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.  

Post a Comment

0 Comments