Krisis di Melaka: gambaran Umno tak mampu urus 'rumah sendiri'


SEORANG penganalisis politik menyifatkan krisis politik di Melaka berpunca dari masalah yang ‘dicari sendiri’ berikutan ketidakmampuan ahli parti Umno menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia Prof Dr Jayum Anak Jawan dipetik laporan Bernama berkata, sikap berpuak dalam Umno dan kegagalan kepimpinan parti di peringkat nasional untuk mengawal perselisihan dalaman telah melemahkan ‘genggaman’ parti dalam pentadbiran di peringkat negeri.

Kemelut itu juga jelasnya menunjukkan kepimpinan nasional Umno sudah hilang 'bisa' dan tidak mampu mengurus ‘rumah sendiri’ atau ahli ‘keluarga sendiri' kerana kemelut dalam Barisan Nasional (BN) sendiri membuktikan terdapat masalah dalaman dalam parti berkenaan.
 
Geostrategis Dr Azmi Hassan pula melihat krisis itu berpunca dari isu sama.

Malah beliau mempersoalkan tindakan empat Adun Melaka terutama daripada Umno itu yang tidak membincangkan penyelesaiaan terhadap masalah dalaman mereka.

Tambahnya, sentiman rakyat adalah mereka mahukan kestabilan politik disebabkan itu termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada 13 Sept lepas.

“Mengapa tak boleh tolak ansur hingga berlaku seperti ini yang sukar diterima ramai kerana mereka daripada parti yang sama,” soalnya.

Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melaka diketuai bekas Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman sebagai Ketua Menteri ke-12.


Mereka selepas itu dilapor bersama ADUN dari Pakatan Harapan (HARAPAN) mahu bertemu Yang Di-Pertua Negeri Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam  bagi membincangkan perkara berhubung perkembangan semasa politik di negeri itu.

HARAPAN mempunyai 11 daripada 28 Adun di Melaka - masing-masing tujuh daripada DAP, dua dariapda PKR sementara dua lagi daripada Amanah.

Dengan sokongan empat Adun yang beralih arah hari ini, mereka mempunyai majoriti tipis untuk membentuk kerajaan baru.

Kenapa tak bincang secara dalaman?
Sekiranya Sulaiman yang juga Adun Lendu terpaksa meletakkan jawatan, Melaka pastinya bakal menyaksikan pelantikan ketua menteri baru iaitu yang ketiga setelah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada 9 Mac 2020, Sulaiman, setiausaha Badan Perhubungan Umno Melaka diisytiharkan sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 menggantikan Adly Zahari dari HARAPAN susulan krisis politik yang menyaksikan pertukaran kerajaan peringkat Persekutuan ketika itu.
 

Post a Comment

0 Comments