Bajet 2022 baik, tapi lemah elak krisis kewangan - Tony Pua


AHLI PARLIMEN
Kota Damansara, Tony Pua menyifatkan Bajet 2022 dibentangkan Menteri Kewangan,Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai penampilan semula langkah-langkah yang diperkenalkan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk meningkatkan keselamatan sosial dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Beliau yang memuji Zafrul kerana bersetuju menerima pakai beberapa langkah penting yang disarankan HARAPAN, sebagai sebahagian daripada penglibatan pihaknya di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) bagaimanapun mengkritik kelemahan dalam bajet tersebut.

Pemimpin DAP itu berkata, melalui pembentangan itu, kerajaan dilihat masih gagal mengetengahkan langkah atau strategi untuk mengelak krisis bajet yang didakwa bakal terjadi dalam masa terdekat.

Keterlanjuran kerajaan di masa lalu dalam berbelanja untuk projek membazir kini memberi tekanan kepada kewangan kerajaan.

"Bajet 2022 gagal menangani, sama ada dari segi strategi atau langkah, krisis bajet yang dijangka dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

"Seperti yang dinyatakan dalam Tinjauan Fiskal Belanjawan 2022, Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana 2022-2024 menganggarkan bahawa hasil kerajaan hanya akan mencecah 13.9% daripada KDNK dalam tempoh ini.

"Ini adalah penurunan daripada jangkaan 14.3% pada 2022, mengukuhkan penurunan jangka panjang daripada 15.9% (2020) dan lebih tinggi pada tahun-tahun sebelumnya.

"Secara ringkasnya, pada masa hadapan, kerajaan akan mempunyai kurang dana untuk berbelanja, melabur dan mempengaruhi hala tuju ekonomi negara," jelas Pua dalam satu kenyataan.

Kebimbangan utama pembangkang, menurut beliau, berkisar kepada risiko masa depan negara jika tidak ada langkah berkesan diambil dari sekarang.

“Adalah amat kritikal untuk Kementerian Kewangan menyatakan bagaimana ia akan menangani krisis mendatang kerana langkah tertentu mesti diambil dari sekarang,” tambah beliau.

Sementara itu ketika mengulas langkah penting disarankan HARAPAN kepada kerajaan, beliau menjelaskan ia antaranya memperuntukkan RM40 bilion di bawah Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) untuk membantu perniagaan pulih daripada krisis ekonomi kesan daripada wabak COVID-19.

Beberapa saranan HARAPAN diambil k'jaan
"Dana tersebut ditujukan untuk semua perniagaan, besar dan kecil.

"HARAPAN telah mencadangkan kepada Kementerian Kewangan bahawa sekurang-kurangnya RM30 juta mesti diperuntukkan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya.

Langkah lain yang dikemukakan PH dan diterima pakai kerajaan termasuk cadangan memanjangkan perlindungan Perkeso kepada individu yang bekerja sendiri dan pekerja sektor gig.

Post a Comment

0 Comments