SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis memberi penjelasan mengenai kehilangan barang kes rasuah melibatkan wang tunai USD6 juta (RM25 juta).
Dalam satu kenyataan, Guan Eng selain menuntut penjelasan itu turut menyelar tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar mempertahankan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Malah pendirian Wan Junaidi bahawa agensi itu akan menyiasat sendiri kehilangan barang kes berkenaan menurut bekas Menteri Kewangan itu adalah bertentangan kedaulatan undang-undang, urus tadbir baik, ketelusan, integriti dan akauntabiliti awam.
“Ini telah mencetuskan persepsi negatif dan kecurigaan orang awam terhadap campur tangan pada tahap tertinggi, ketika pegawai SPRM yang didakwa terlibat dalam kehilangan barang kes, direman 12 hari lalu dan SPRM hanya mengeluarkan kenyataan rasmi setelah tempoh reman berakhir,” katanya.
Setiausaha Agung DAP itu mengulas penahanan tiga pegawai kanan SPRM atas penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan berhubung kehilangan barang kes milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Hasanah.
Wan Junaidi dipetik laporan media menangkis dakwaan kehilangan barang kes berjumlah USD6 juta sepatutnya dilakukan polis, bukannya SPRM.
Ini kerana menurutnya SPRM sudah melengkapkan fail kes berhubung kehilangan barang kes itu, sekali gus memudahkan agensi antirasuah itu menjalankan siasatan lanjut.
Guan Eng sementara itu turut mempersoal keanehan dalam kes itu.
Malah membezakan kes itu dengan amalan SPRM yang “sengaja dan cepat mendedahkan maklumat” kepada media mengenai ahli politik pembangkang yang ditahan atau akan didakwa di mahkamah kemudian hari.
“Skandal USD6 juta ini semakin mengukuh dan menambah kurangnya keyakinan orang awam terhadap integriti dan kredibiliti SPRM untuk menjalankan siasatan kes rasuah secara bebas tanpa campur tangan.”
![]() |
Lim Guan Eng mahu penjelasan |
Melalui kenyataan sama, beliau turut mengingatkan gesaan orang ramai supaya Azam mengambil cuti rehat bagi memastikan tiada campur tangan dalam siasatan itu.
0 Comments