Warganet tetap sokong, puji pendirian Anwar walaupun tak dilantik PM


KETUA
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandang positif keputusan Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong melantik Naib presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri.

Melalui satu kenyataan, Anwar berkata bahawa pembangkang secara keseluruhannya menjunjung kasih keatas titah Seri Paduka Baginda itu dan maklum bahawa keputusan itu telah dibuat menurut lunas-lunas Perlembagaan demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan yang diamalkan Malaysia.

Tambah Presiden KEADILAN itu lagi, keputusan itu adalah satu cabaran untuk pembangkang bekerja lebih gigih lagi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Bagi semua pimpinan, anggota dan pendukung, kami menggesa semua untuk menerima keputusan ini dengan kecekalan yang jitu untuk bekerja lebih gigih menuju PRU15, agar kita dapat memenangi semula mandat rakyat yang telah kita terima pada PRU yang lalu,” katanya.

Anwar melalui kenyataan itu juga berkata usaha semua pihak pada ketika ini harus bertumpu kepada menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha supaya krisis wabak Cvodi-19 dan ekonomi segera diatasi dan ditangani demi rakyat,” tambah Anwar lagi.

Sementara itu warganet memuji pendirian diambil Anwar.

Dalam ruangan komen berhubung kenyataannya itu difacebook, sebilangan besar mereka tetap menyokong Anwar dengan memberi kata-kata semangat supaya Ketua Pembangkang itu terus berkhidmat untuk rakyat sekaligus mengambil semula mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Anwar terus dapat sokongan padu rakyat
"Seterusnya tetap bersama DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim), DSAI tetap menang dihati kami," kata Alin Tahkim.

"Kerendahan hati yang murni, teruskan berjuang DSAI. Allah memelihara DASI dari pengkhianat dan mereka yang korup," tambah Mukhriz Abdul Rahman.

Sementara Azran Said pula berkata, Lebih baik kelah kerana mempertahankan prinsip daripada menang kerana bersengkokol dengan kleptokrat yang boleh menjadi kluster perosak," tulisnya.