Pembangkang 'solid' sokong Anwar, adakah GPS bakal jadi penentu?


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon tunggal perdana menteri dinamakan oleh blok pembangkang.

Perkara itu dinyatakan Presiden parti Warisan Mohd Shafie Apdal hari ini setelah beliau yang merupakan calon kedua memwakili blok itu gagal mengumpul sokongan mencukupi bagi dinamakan sebagai calon utama.

“Anwar adalah calon kami, calon tunggal daripada pembangkang. Parti saya akan memberi sokongan penuh kepada Anwar sebagai perdana menteri,” katanya menurut laporan The Borneo Post.

Sebelum ini media melaporkan bahawa kedua-dua mereka telah membuat satu 'gentlemen's agreement' untuk memastikan mandat rakyat dapat dikembalikan dengan meletakkan asas sokongan masing-masing seimbang dengan 105 sokongan Ahli Parlimen terdiri daripada Ahli Parlimen HARAPAN, Warisan, Pejuang, Parti Sarawak Bersatu, dan dua wakil rakyat Bebas.

Namun usaha itu diserahkan kepada Anwar setelah Shafie gagal menambah sokongan.

Shafie hari ini turut menyatakan dukacitanya berikutan ketiadaan sokongan daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk merealisasikan pelantikan perdana menteri dari Borneo kali ini.

Kesemua Ahli Parlimen diberi peluang menyatakan calon pilihan mereka secara individu kepada pihak Istana Negara sehingga 4 petang tadi.

Anwar akan bersaing dengan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob yang juga merupakan bekas menteri kabinet kerajaan Mahiaddin Md Yassin.

Sehingga kini tidak diketahui siapa mendapat sokongan terbanyak dari Ahli Parlimen.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Tun Openg sebelum ini membuat kejutan apabila mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa mereka akan menyerahkan perkara berkenaan kepada "kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong".

Namun laporan media saat akhir menyatakan bahawa mereka mengemukakan satu nama sahaja calon Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agung (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tidak lama selepas laporan itu, Ahli Parlimen Kapit dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang merupakan komponen dalam GPS, Alexender Nanta Linggi dalam muat naik status Facebooknya menafikan satu salinan akuan sumpah yang tersebar di media sosial yang dikaitkan dengan sokongan kepada Ismail Sabri.

Siapa akan dilantik sebagai perdana menteri
"Sila ambil maklum bahawa gambar surat akuan yang telah disebarkan di laman media sosial di bawah ini adalah PALSU.

"Saya berasa amat kesal kerana ada pihak tidak beretika yang mengambil kesempatan di atas situasi negara pada masa ini," tulis status tersebut.
 

 

Post a Comment

0 Comments