PELANTIKAN Ahmad Faizal Azumu sebagai penasihat khas Mahiaddin Md Yassin bertaraf menteri dilihat hanya membazir wang rakyat, kata pemimpin pembangkang.
Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata, tiada keperluan mendesak untuk Muhyiddin melantik seorang penasihat melainkan ia dilihat sebagai habuan diberikan untuk dia terus memberi sokongan kepada Mahiaddin.
“Yang boleh difikirkan hanya ini satu lagi politik beri habuan untuk pelihara sokongan kepada perdana menteri.
“Pelantikan ini tiada kena mengena dengan kepentingan rakyat yang sedang bergelut dek pandemik Covid-19, hilang kerja dan hilang pendapatan,” katanya dipetik Malaysiakini.
Ahmad Faizal yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu dilantik menasihati Mahiaddin dalam hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.
Pelantikan itu mengejutkan ramai terutama ia dibuat ketika Mahiaddin berdepan isu keabsahan tentang kedudukannya sebagai perdana menteri dan berjanji akan membawa usul undi percaya pada sidang parlimen yang dijadualkan bulan depan.
Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak, Mujahid Yusof turut mempertikaikan pelantikan tersebut
Ahli parlimen Parit Buntar itu berkata, pelantikan Faizal yang merupakan Ahli Parlimen Tambun itu merupakan “penyambung nyawa” Muhyiddin untuk terus kekal sebagai perdana menteri.
“Saya tidak faham kenapa Muhyiddin begitu meminati memberi jawatan jawatan yang tak bermanfaat kepada seseorang.
“Adakah kerana Muhyiddin diugut dan cara mendiamkan ialah dengan memberi jawatan? Ini adalah pembaziran duit rakyat dan cara perdana menteri menyambung ‘nyawanya’ dengan cara memberi jawatan,” katanya.
Adun Pasir Pinji, Howard Lee pula melihat pelantikan itu sebagai tindakan lucu dan mempersoal mengapa jawatan itu diwujudkan walaupun kerajaan telah mempunyai jumlah menteri dan timbalan menteri yang banyak.
“Perdana menteri bertarung nyawa politiknya hendak memberi habuan kepada timbalan presiden partinya?
“Seorang ketua kerajaan negeri yang hilang majoriti diupah menasihati perdana menteri yang diragui majoritinya semenjak pelantikannya. Bahan jenaka yang memalukan negara
“Kenapa tidak terus dilantik menteri? Adakah kerana Muhyiddin tahu ia tidak akan diperkenankan?” soalnya.
Isu pelantikan bekas Menteri Besar Perak yang disingkirkan melalui usul percaya di Dewan Undangan Negeri Perak pada Disember lalu turut mendapat perhatian bekas perdana menteri Najib Razak.
![]() |
Lantikan Ahmad Faizal dilihat bermotif politik |
“Baru saya faham kenapa PM8 (Muhyiddin) tiba-tiba berani buat undi percaya dalam parlimen.
“Rupanya yang hilang majoriti sudah diberi nasihat baik dari yang hilang majoriti,” kata Najib menerusi hantaran di Facebooknya.
0 Comments