ISMAIL SABRI YAAKOB dilantik sebagai perdana menteri baharu menggantikan Mahiaddin Md Yasin yang meletak jawatan pada 16 Ogos lalu.
Perkara itu diumumkan Istana Negara dalam kenyataan sebentar petang tadi.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Ismail yang merupakan Naib presiden Umno akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada jam 2.30 petang esok di Istana Negara.
“Seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Ismail.
“Jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya.
Terdahulu, mesyuarat khas Raja-raja Melayu selesai selepas hampir dua jam berlangsung.
Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan pembentukan kerajaan dan pelantikan perdana menteri baharu, dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Mahiaddin terpaksa meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada Isnin setelah beberapa Ahli Parlimen Umno menarik semula sokongan mereka kepadanya.
Pelantikan Ismail Sabri ini bagi sesetengah pihak dilihat sebagai satu kemenangan kepada Umno yang merampas semula jawatan perdana menteri setelah digulingkan pada pilihan raya 2018, antara lain kerana beberapa pemimpinnya dikaitkan tuduhan rasuah.
Dia sebelum ini dilantik sebagai timbalan perdana menteri bulan lalu dalam usaha Muhyiddin untuk menenangkan Umno yang menekan pentadbirannya ketika itu.
![]() |
Ismail Sabri dilantik Perdana Menteri |
Ketika negara ditadbir HARAPAN, Ismail Sabri pernah dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.
0 Comments