Wajar tukar pemimpin gagal, kata Khaled Nordin

 


LANGKAH untuk menukar kerajaan ketika krisis adalah wajar sekiranya kerajaan sedia ada gagal menguruskan krisis seperti diharapkan, kata Naib presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin.  

Khaled walaupun mengakui ada yang berpendapat bahawa politik harus diketepikan supaya tumpuan penuh dapat diberikan kepada pandemik Covid-19, namun baginya tanggapan itu tidak sepenuhnya tepat.

"Ini kerana optimisme tersebut berlandaskan andaian bahawa mereka yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan pandemik adalah kumpulan yang paling berkelayakan dan mampu membawa pemulihan yang diharap-harapkan.

"Perdana menteri jelas gagal menguruskan pandemik Covid-19 dengan baik. Bukan sahaja keadaan ekonomi tidak pulih, darurat kesihatan negara terus meruncing dengan kritikal dan menakutkan. Petugas barisan hadapan sudah sangat kelesuan. Sistem kesihatan negara mencecah kapasiti maksimum dan berisiko lumpuh.

"Rakyat terhimpit dan tertekan. Paling penting, semua itu berlaku dalam tempoh perintah kawalan pergerakan yang berpanjangan dan darurat yang menyaksikan penggantungan institusi demokrasi seperti Parlimen," katanya dipetik sebahagian laporan media.

Bersama kenyataannya, Khaled turut memberikan beberapa contoh sejumlah negara yang menukar pemimpin semasa pandemik Covid-19.

Ia antaranya di Itali dimana Perdana Menterinya, Giuseppe Conte pada Januari lalu terpaksa meletak jawatan setelah Parti Italia Viva yang diketuai oleh Matteo Renzi keluar dari pakatan kerajaannya akibat kegagalannya menguruskan pandemik Covid-19.

"Pada Ogos tahun lalu pula, Menteri Kesihatan Poland dan Menteri Luar negara tersebut meletak jawatan setelah dikecam teruk atas kegagalan menguruskan pandemik ini.

"Keadaan yang sama dilihat di Slovakia pada Mac 2021 apabila Presiden Zuzana Caputova telah menggantikan Perdana Menterinya, Igor Matovic dan menaikkan Menteri Kewangan, Edward Heger sebagai pengganti apabila negara tersebut merekodkan kadar kematian akibat Covid-19 antara tertinggi di dunia.

"Kesemua ini adalah antara contoh pertukaran pemimpin, sama ada secara sukarela mahupun dipecat atau akibat hilang sokongan semasa tempoh pandemik," katanya lagi.

Khaled sementara itu turut mempertahankan keputusan Umno menarik sokongan terhadap Mahiaddin.

Melalui penarikan sokongan Umno, diharapkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedar bahawa strategi mereka telah gagal dengan teruk.

"Adalah sangat dangkal untuk terus bertahan dengan pelan atau pendekatan yang sama.

Khaled beri contoh negara tukar pemimpin
"Setelah menyaksikan defisit kepercayaan pemerintah yang teruk yang ditunjukkan oleh gerakan yang berpusatkan rakyat seperti gerakan #benderaputih, seorang pemimpin baru tentu dapat membawa harapan baru.

"Penukaran pemimpin dalam tempoh krisis bukanlah sesuatu yang pelik dan tidak bertanggungjawab," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments