Pemimpin PAS 'dihentam' warganet gara-gara GST

 



PESURUHJAYA parti PAS Perak, Razman Zakaria ‘dihentam’ warganet kerana mengkritik penghapusan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) oleh bekas kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ia susulan muatnaik pemimpin PAS itu di Facebook yang dakwanya tindakan itu telah menarik ekonomi negara 50 tahun ke belakang.

“Keputusan PH (HARAPAN) yang paling tidak cerdik adalah menukar GST balik semula kepada SST (cukai jualan dan perkhidmatan).

“Keputusan ini menarik ekonomi negara 50 tahun ke belakang. Harga barangan tidak dapat dikawal kerana ada yang mengambil keuntungan melampau.

“Hasil kerajaan berkurangan, kebocoran hasil meluas,” katanya dalam catatan Facebook.

Portal FMT dalam laporannya hari ini berkata, kenyataan Razman itu mendapat kritikan kerana pendirian PAS sebelum ini yang juga pernah menentang pelaksanaan cukai GST.

Malah di laman sosial, warganet turut berkongsikan gambar Razman memakai baju-t 'Hapus GST' dipercayai dalam satu perhimpunan pada 2015.
 
portal itu memetik komen sebilangan warganet  di laman Facebook yang menyifatkan  parti itu hipokrit dan berkongsi kenyataan oleh pemimpin PAS yang menolak GST sebelum parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan yang berkuasa.

Kenyataan Razman dikritik warganet
Antara lain, seorang pengguna Facebook Wfauzdin Ns menunjukkan bahawa sebelumnya pada 2018, Presiden PAS Abdul Hadi Awang telah melancarkan manifesto Gagasan Sejahtera (Gagasan) untuk pilihan raya umum untuk mengenakan cukai kepada golongan kaya dan menghapuskan tol, cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta Pinjaman Perbadanan Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).

Seorang pengguna Facebook lain Mohamad Jamalee mengulas: “Masa pembangkang kerja anda adalah ‘criticize’ (kritik) apa orang buat. Dah jadi kerajaan pun kerjanya ‘criticize’ apa orang buat. Bila anda nak buat apa yang anda kata nak buat?” katanya dipetik laporan itu.

Post a Comment

0 Comments