KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) yang dikepalai Mahiaddin Md Yassin menerima kritikan baru dari bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz.
Tokoh wanita itu yang dikenali ramai sebagai wanita besi menegaskan bahawa kerajaan mesti bertindak jelas dalam perancangannya menguruskan wabak.
Kelemahan itu jelasnya akan menyebabkan golongan peniaga berada dalam keadaan tertanya-tanya sehingga pengumuman saat akhir dan itu hanya akan menambahkan kesusahan mereka.
“PKS, pemilik tunggal dan perniagaan secara umum telah membuat perancangan untuk pelaburan baharu, memulakan operasi mengikut SOP ditetapkan, malah juga pelantikan pekerja baharu.
“Semua keputusan mereka itu dapat memberi kesan positif terhadap masyarakat dan ekonomi,” katanya.
Kritikan itu disuarakan Rafidah susulan pengumuman Mahiaddin hari ini bahawa fasa sekatan pergerakan penuh dalam Pelan Pemulihan Negara akan diteruskan sehingga bilangan kes harian dan sasaran vaksinasi mencapai sasaran, hanya sehari sebelum ia dijadualkan tamat.
Dalam kenyataan, Rafidah berkata pengumuman penting seperti itu tidak patut dibuat “pada saat akhir,” kerana ramai yang telah membuat persediaan untuk penamatan sekatan atau kelonggaran syarat pergerakan.
Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mewujudkan kawasan khusus yang membolehkan golongan peniaga kecil-kecilan terus beroperasi.
Ia bagi mengelakkan golongan itu terpaksa menutup perniagaan kerana sukar pulih susulan sekatan pergerakan yang dilaksana terlalu lama.
Kawasan itu jelasnya lagi boleh mengikut jenis perniagaan, seperti makanan, pakaian, barangan basah dan barangan keperluan rumah, dengan SOP ketat dikuatkuasakan.
“Kenal pasti apakah kategori perniagaan yang boleh dibenarkan beroperasi, dengan lingkungan keselamatan sewajarnya.Perancangan tak boleh 'tangkap muat'
“Pelan Pemulihan Negara bukan sekadar pemulihan daripada Covid-19.
“Ia mengenai perancangan selari bagi memastikan masyarakat dan ekonomi dapat mula berfungsi secara berkesan, bersertakan akal dan garis waktu logik.” katanya dipetik.
0 Comments