Derhaka, Idrus wajar dipecat dari jawatan Peguam Negara - HARAPAN

PEGUAM NEGARA, Idrus Harun disifatkan telah memperkecilkan dan memperlekeh titah pandangan Raja-Raja Melayu berhubung isu pembukaan semula Parlimen, kata Majlis Presiden Pakatan HArapan (HARAPAN).

Melalui kenyataan bersama, majlis itu menegaskan bahawa kenyataan abang kepada Speaker Dewan Rakyat itu bahawa  Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri berhubung langkah memanggil sidang Parlimen adalah melampaui batas adab.

“Ia telah mengetepikan semangat Perlembagaan, dan memberi gambaran Peguam Negara telah mengetepikan institusi Raja-Raja Melayu untuk melindungi sebuah kerajaan yang mahu berkuasa mutlak tanpa kawalan mahupun batas waktu,” kata kenyataan itu.

Kenyataan bersama itu ditandatangani Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Pada 25 Jun lalu, Idrus dipetik media sebagai berkata tarikh mesyuarat Dewan Rakyat dan Dewan Negara juga ditentukan oleh Jemaah Menteri.

Idrus berkata, kedudukan Agong sebagai Raja Berperlembagaan yang perlu bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri adalah berasaskan kepada Perkara 39 dan 40 Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Idrus itu juga tegas mereka telah melanggar kebiasaan.

“Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa ‘Menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara perkara undang-undang.’

“Jelas sekali Peguam Negara sepatutnya memberi pandangan beliau terus kepada Yang di-Pertuan Agong serta merahsiakannya, dan bukan mengumumkan pandangan beliau secaraterbuka seperti yang telah dibuat ini,” tambah mereka.

Kenyataan Idrus dianggap biadap
Majlis Presiden juga berkata bahawa kenyataan itu juga satu bentuk “pelanggaran kerahsiaan” di antara peguam dan anak guam, seterusnya Idrus tidak layak menjadi seorang peguam apatah lagi menjawat jawatan Peguam Negara.

“Oleh itu, kenyataan Peguam Negara ini adalah satu penderhakaan khusus terhadap Yang di-Pertuan Agong, dan beliau mesti dipecat segera.” kata mereka.

Post a Comment

0 Comments