Kenyataan Nik Abduh buktikan keraguan rakyat terhadap PAS


KENYATAAN seorang pemimpin PAS yang dianggap memperlekehkan “kempen bendera putih” yang dimulakan rakyat di media sosial semalam dikecam ahli akademik.

Pensyarah Universiti Malaya Awang Azman Pawi yang dipetik laporan FMT menyifatkan kenyataan Nik Abduh, yang merupakan Ahli Parlimen Bachok sebagai “pelik”.

Tambahnya, beliau tidak faham mengapa PAS tidak menyokong kempen berkenaan dan mengapa Nik Abduh tidak dapat melihat perbezaan antara doa sebagai “isyarat dalaman” untuk meminta bantuan dan kempen berkenaan sebagai “isyarat luaran”.

“Ia seruan untuk mendapatkan bantuan makanan,” katanya menurut laporan itu.

Semalam, melalui catatan di Facebook semalam, Nik Abduh berkata: “Angkat tangan berdoa kepada-Nya. Itulah bendera kekuatan dan optimis dalam ujian kehidupan. Jangan angkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengajar rakyat mengangkat bendera putih.”

Kempen bendera putih dimulakan warganet susulan keadaan getir dihadapi rakyat berikutan ramai yang kehilangan punca pendapatan setelah negara terjebak dalam pendemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.  Ia bagi membantu rakyat dalam kesusahan meneruskan kelangsungan hidup atau berdepan masalah emosi susulan keadaan yang menekan sekarang.

Bagi sesiapa yang memerlukan bantuan segera, terutamanya dari segi makanan, semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 mereka diminta untuk mengibarkan bendera putih di rumah supaya individu lain dapat sama-sama tampil membantu.

Kempen itu muncul setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikepalai Mahiaddin Md Yassin dan dianggotai Bersatu, PAS, MCA dan beberapa parti politik lain dikritik dan disifatkan sebagai gagal menangani pendemik dan meredakan situasi sukar dihadapi rakyat ketika ini.

Kempen itu turut dianggap sebagai terjemahan bahawa rakyat telah menolak kerajaan yang terbentuk melalui 'langkah Sheraton' itu.

Sementara itu, bekas ahli akademik, Azmi Hassan turut mengkritik kenyataan ditunjukkan pemimpin yang mendakwa dirinya mewakili parti berteraskan Islam itu.
 
Sependapat dengan Awang Azman, Azmi turut berkata bahawa kenyataan ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu memperlihatkan sikap tidak peka dan kurangnya kemahiran kepemimpinan ketika beliau menyiratkan bahawa kempen berkenaan adalah untuk orang-orang lemah yang bersikap seperti orang kalah.

Apa yang ditunjukkan Nik Abduh juga tegas mereka telah membuktikan keraguan orang ramai terhadap kemampuan parti itu mentadbir negara selamat ini telah dibuktikan benar.

Kualiti pemimpin PAS dipersoal
PAS kata Awang Azman belum lagi menunjukkan mereka dapat mencari penyelesaian kepada masalah-masalah sosial yang kini muncul akibat rakyat kehilangan pendapatan.

“Pemimpin PAS telah membuktikan (tanggapan ini) dengan membuat terlalu banyak kesilapan. Keputusan mereka kadang-kadang cetek dan tidak mempunyai justifikasi,” katanya sambil menegaskan bahawa nampaknya seperti PAS tiada “pengetahuan asas” sekalipun untuk mentadbir negara.

Post a Comment

0 Comments