Perkhidmatan awam perlu bebas tanpa pengaruh menteri

PENGERUSI Parti Amanah Negara (Amanah) negeri Perak Datuk Asmuni Awi membidas sebarang bentuk campur tangan politik dalam organisasi perkhidmatan awam.

Dipetik satu laporan media, Asmuni menegaskan tindakan itu hanya akan menyebabkan pentadbiran organisasi tersebut akan kacau bilau dan tidak lagi bebas serta cenderung untuk memihak kepada pihak-pihak tertentu.

Justeru katanya, sebarang urusan di dalam organisasi perkhidmatan awam perlu diuruskan sendiri oleh ketua jabatan masing-masing termasuklah pertukaran pegawai.

"Perkhidmatan awam ini ada bos dia, jadi tidak molek kalau orang lain campur tangan di situ.

"Misalnya pertukaran pegawai-pegawai daerah di peringkat negeri, takkan menteri besar nak campur tangan. Tugas itu mestilah diuruskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri sebab dia yang lebih tahu.

"Dalam kes organisasi polis pula mereka ada Ketua Polis Negara yang bertanggungjawab terhadap pengurusan kepolisian termasuklah pertukaran pegawai.

"Orang politik jangan campur tangan dalam urusan pentadbiran awam, kacau bilau jadinya. Orang politik ikut mana pun ada 'political interest' tak usah bohonglah," katanya dipetik.
 
Kenyataan Asmuni dipercayai merujuk pendedahan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador baru-baru ini yang menyatakan ada campur tangan oleh Menteri dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dalam urusan polis.

Sementara itu tambahnya, Ketua Polis lebih tahu kemana isntitusi penguatkuasaan itu perlu diarahkan.

"Biarlah urusan polis diuruskan oleh pihak polis sebab dia lebih tahu siapa yang layak sebab dia lebih kenal anak buah dia.

"Macam kita ada anak sendiri, tiba-tiba orang lain nak tentukan nak belajar ke mana. Jadi biarlah organisasi itu menguruskan organisasinya supaya di situ ada rasa tanggungjawab ketua terhadap anak buahnya," katanya lagi. 

Sementara itu tambah Asmuni, institusi awam mesti dibebaskan daripada dipengaruhi oleh campur tangan kerana dibimbangi penjawat awam terpaksa mengikut arahan orang politik termasuk memberi tekanan kepada musuh politik mereka.

Jika itu berlaku tegasnya, ia akan  menjejaskan kestabilan negara dan mencetuskan sabotaj terhadap kerajaan sedia ada jika berlaku peralihan kuasa.

Perkhidmatan awam perlu bebas
"Kita mahu perkhidmatan awam bebas dan berkhidmat dengan kerajaan sedia ada itu konsepnya.

"Kalau ada campur tangan politik apabila berlakunya peralihan kuasa nanti, kecenderungan individu yang dilantik oleh parti lain masih lagi ada dan akan muncul sabotaj, 'deep state' dan tak mahu bekerjasama. Ini tidak baik kepada kelicinan pentadbiran negara," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments