KERAJAAN Pulau Pinang dilapor akan memperuntukkan sekitar tambahan RM3 juta khusus bagi melaksanakan program saringan secara besar-besaran terhadap kumpulan komuniti di negeri itu.
Pengerusi jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat exco pada Jumaat.
Beliau turut menjelaskan bahawa program itu mensasarkan saringan di 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bercakap dalam satu sidang media, Jagdeep menjelaskan bahawa langkah itu selaras dengan inisiatif pemeriksaan RT-PCR air liur yang dikumpulkan di lokasi, yang merupakan usaha bersama antara negeri dan Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang untuk melaksanakan pemeriksaan besar-besaran di sektor pembuatan.
Ia tegasnya amat bermanfaat dalam proses membuat persiapan untuk menerima kumpulan vaksin berikutnya, yang dijangka tiba bulan depan.
Sementara itu Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan berkata kerajaan negeri sedang meninjau keperluan untuk mewujudkan pusat vaksinasi bersaiz besar, dalam usaha menyegerakan kerja-kerja vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Beliau berkata kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk meningkatkan kadar vaksinasi kepada 22,000 individu seminggu pada bulan Jun.
"Kita berhasrat wujudkan pusat vaksinasi bersaiz besar bagi menyegerakan program vaksinasi, termasuk kepada kumpulan "barisan hadapan ekonomi” yang berkhidmat di sektor pengilangan dan industri, di samping mereka yang berada di dalam daerah zon merak,”katanya dipetik laporan Bernama.
![]() |
K'jaan negeri mahu segerakan proses vaksinasi |
"Perancangan logistik, sistem pendaftaran yang boleh integrasi data dari MySejahtera, pengwujudan pasukan perubatan berdaftar tambahan, pusat vaksinasi dan lain-lain perkara yang berkaitan; sedang dikaji bagi membolehkan program ini berjalan dengan lancar di masa hadapan,” katanya lagi.
0 Comments