Steven Sim arah peguam saman Kamarul Zaman


AHLI PARLIMEN Bukit Mertajam Steven Sim membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusoff yang didakwa memfitnahnya.


Perkara itu dimaklumkan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu melalui catatan melalui laman Facebooknya hari ini.

"Saya sebenarnya amat terkesan dengan fitnah dan tomahan Dr Kamarul Zaman Yusoff terhadap diri saya. Namun saya tetap bersabar sebab saya menghormati bulan Ramadan sebagai bulan yang mulia buat umat Islam.

"Walaupun diminta orang ramai untuk mengambil tindakan, saya tidak buat apa-apa.

"Namun, beliau pula tidak berhenti-henti membuat tuduhan yang tidak berasas. saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Kamarul Zaman Yusoff dan pihak lain yang terlibat," katanya.
Sebagai rekod, Kontroversi timbul setelah Steven baru-baru ini membantu seorang remaja lelaki mendapatkan sebuah motosikal bagi memudahkan beliau menjalankan kerja sebagai penghantar makanan.

Isu bantuan oleh pemimpin DAP kepada remaja Melayu itu kemudian disensasikan dengan Kamarul yang kemudian memberi peringatan agar umat Islam supaya berhati-hati menerima bantuan daripada "mubaligh Kristian".

Menganggap sumbangan diberikan Steven sengaja diberi promosi besar-besaran di media massa, Kamarul pernah membandingkan sumbangan serupa oleh Ahli Parlimen PAS dari Pendang yang kurang mendapat perhatian warganet. Kamarul dalam satu kenyataan baru-baru ini menegaskan bahawa merasa tidak selesa melihat bantuan diberika Steven itu seperti sengaja mahu disensasikan untuk publisiti.

Manakala Steven dalam catatannya sebelum ini menegaskan bantuan diberikan kepada penduduk dikawasan Parlimen diwakilinya itu berasaskan amanah dipikulnya sebagai wakil rakyat .

Malah  menegaskan sudah menjadi tugasnya sebagai wakil rakyat untuk membantu masyarakat tanpa mengira kaum dan agama dan perkongsian di media sosial itu sebagai berkongsi rasa bahagian dapat membantu individu lain.

Sementara itu, Steven berkata bahawa tohmahan dan fitnah dilemparkan terhadapnya telah merosakkan nama baiknya sebagai seorang Ahli Parlimen.   

"Malah lebih bahaya lagi, mengapi-apikan sentimen kaum dan agama dalam masyarakat kita.

 Steven Sim arah peguam ambil tindakan
"Beliau dengan tanpa rasa kesal juga mencabar saya mengambil tindakan saman terhadap diri beliau," katanya.

Steven sementara itu menambah, demi kemaslahatan masyarakat Malaysia dan sebagai teladan kepada semua agar menjaga keharmonian kaum di negara ini tindakan undang-undang terhadap pensyarah itu perlu diambilnya.