Saman Fitnah: Guan Eng tuntut 'juta-juta' dari Raja Petra


BEKAS
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menuntut ganti rugi am sebanyak RM20 juta dari penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin

Tuntutan itu dinyatakan dalam kes saman fitnah dikemuka Guan Eng, 61, beberapa siri artikel dakwaan rasuah dalam projek terowong bawah laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Dipetik laporan Bernama, Guan Eng Lim selaku plaintif, berkata sebanyak 20 artikel telah disiarkan dalam kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra bermula Februari 2019.

"Saya menuntut ganti rugi RM1 juta bagi setiap artikel. Siri artikel itu telah dikongsi oleh pengguna internet dan artikel itu masih belum diturunkan (padam) lagi oleh defendan (Raja Petra)," katanya pada prosiding taksiran ganti rugi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Arief Emran Arifin.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu juga berkata bahawa semasa artikel itu diterbitkan, beliau memegang jawatan penting sebagai Menteri Kewangan dan pemfitnahan itu adalah khusus kepada khidmatnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Nama baik dan reputasi saya tercemar secara teruk, lagipun defendan menyatakan sumber beliau adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini telah merosakkan kewibawaan dan karakter saya," katanya lagi.

Guan Eng turut meminta ganti rugi teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM500,000 dari Raja Petra.

Saman terhadap Raja Petra yang kini dipercayai berada di luar negara difailkan pada 6 Sept 2019.

Ia susulan satu siri artikel ‘Dari Fail SPRM’ yang disiarkan dalam kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra antara 24 Feb dan 15 Mac 2019.

Pada 28 Feb tahun lepas, Lim memperoleh penghakiman ingkar selepas Raja Petra tidak memasukkan kehadiran bagi menjawab saman yang dikemukakan terhadapnya. Mahkamah menetapkan 26 April ini untuk plaintif memfailkan hujahan tambahan dan keputusan bagi taksiran ganti rugi ditetapkan pada 25 Mei ini menerusi aplikasi Zoom.

Sementara itu, peguam Simon Murali yang mewakili pemimpin DAP itu dalam hujahannya, berkata Malaysia Today adalah portal dalam talian percuma dan boleh diakses oleh sesiapa, malah setiap artikel yang diterbitkan boleh dikongsi oleh pembaca.

 Guan Eng tuntut RM1 juta untuk setiap artikel
"Tiada keraguan bahawa penyebaran dan penerbitan melalui internet adalah secara global dan boleh dilihat oleh sesiapa di seluruh dunia. Lebih-lebih lagi pernyataan fitnah ini menyasarkan Menteri Kewangan ketika itu.

“Tempoh penyebaran merangkumi sebulan, di mana pernyataan-pernyataan fitnah diterbitkan secara bersiri. Oleh itu, amaun ganti rugi am berjumlah RM1 juta bagi setiap artikel adalah munasabah," kata peguam itu.
 


 

Post a Comment

0 Comments