Refsa kritik kenyataan 'M'sia sudah tiada wang' Muhyiddin



SEBUAH
badan pemikir mengkritik Muhyiddin Yassin setelah perdana menteri itu membuat kenyataan bahawa kerajaan kini berada dalam dalam situasi kekurangan wang.

Badan  yang menamakan diri mereka sebagai Research for Social Advancement (Refsa) itu berkata, kenyataan Muhyiddin  itu dilihat berlebihan terhadap situasi semasa fiskal negara.

Seorang penyelidiknya berkata, walaupun Muhyiddin cuba mengaitkan pakej rangsangan bernilai RM340 bilion sebagai beban kepada wang negara, suntikan fiskal sebenarnya cuma RM72.6 bilion atau hanya 21.4 peratus daripada pakej rangsangan.

"Cara mudah untuk menjelaskan tahap keadaan fiskal kerajaan adalah dengan melihat secara keseluruhan keadaan keseimbangan fiskal dan perbezaan antara pendapatan dan perbelanjaan kerajaan sebagai sebahagian daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Memang langkah-langkah rangsangan mendorong perbelanjaan yang lebih tinggi di tengah asas pendapatan yang lebih kecil, dengan anggaran keseimbangan fiskal berada pada 6 peratus dari KDNK pada 2020 dan berpotensi meningkat menjadi 6.5 peratus tahun ini dari 3.4 peratus pada 2019 berdasarkan Jangkaan Ekonomi 2021.

"Namun, ini bukannya tidak pernah terjadi sebelum ini. Belanjawan 2009 menyaksikan defisit fiskal sebanyak 6.7 peratus di tengah-tengah krisis kewangan," kata penyelidik Refsa, Jaideep Singh.

Muhyiddin ketika berucap di hadapan masyarakat Sikh sempena sambutan perayaan Vaisakhi di Petaling Jaya Isnin lalu dipetik berkata kerajaan telah membelanjakan lebih RM600 bilion melalui belanjawan dan pakej rangsangan dan kini berada dalam keadaan 'tiada duit' seperti sebelum ini.

 K'jaan mesti ada strategi tarik pelabur
Walaupun begitu Presiden Bersatu itu berjanji akan memperuntukkan RM3 juta untuk semua 120 kuil Sikh di negara ini selain mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk Majlis Gurdwara Malaysia bagi membina pusat Sikh.

Sementara itu tegas Jaideep, sekarang bukan waktu yang betul untuk kerajaan Perikatan Nasional mengambil sikap berwaspada, sebaliknya mereka harus menerapkan lebih banyak strategi pengembangan fiskal yang lebih terarah dan menarik pelaburan sektor swasta.

 

Post a Comment

0 Comments