Apa status sebenar Sabah dan Sarawak? soal pemimpin Sabah


BEBERAPA
ahli politik Sabah mahu tahu sama ada perubahan status Sabah dan Sarawak daripada “negeri” kepada “wilayah” bakal memberi kesan kepada mereka.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) , Darell Leiking mempersoalkan apakah perubahan itu sekadar pada nama atau sememangnya menandakan satu perubahan lebih besar.

Ini kerana jelas tegasnya sebarang perubahan pada status Sabah dan Sarawak perlu dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Ini berkaitan perubahan yang membentuk persekutuan – apabila kita mahu membentuk semula, menamakan semula dan mengubah konteks persekutuan – ini perlu dibawa ke Parlimen

"Perubahan nama adalah bagus, tetapi ia tidak baik jika tidak dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.,” kata Ahli Parlimen Penampang itu dipetik laporan FMT.

Muhyiddin Yassin pada 2 April lalu dalam Majlis Makan Tengah Hari bersama kepimpinan Masyarakat di Kuching, Sarawak menggunakan istilah wilayah Sarawak bagi menggantikan negeri.

"Mulai sekarang kita tidak boleh lupa bahawa Sarawak bukannya negeri tetapi sebuah wilayah. "Sarawak amat besar walaupun populasi penduduknya tidak ramai," kata Presiden parti Bersatu itu.

Sementara itu media melaporkan bahawa sebahagian agensi kerajaan memberitahu kakitangan mereka secara dalaman untuk menggunakan istilah wilayah berbanding negeri dalam komunikasi mereka apabila merujuk kedua-dua negeri itu mulai sekarang.

Sementara itu,  Leiking menegaskan bahawa apa yang lebih pentinmg kepada rakyat kedua-dua 'negeri' itu adalah hak yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan bukan sekadar nama panggilan.

"Apa yang penting ialah kandungan MA63, dengan 17 (daripada 21) perkara diselesaikan ketika pemerintahan Pakatan Harapan.” tambahnya.

Dipetik laporan sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan berkata, rakyat Sabah hanya akan menerima perubahan istilah itu sekiranya ia turut mencerminkan perubahan dalam dasar kerajaan persekutuan terhadap Sabah.

“Jika tidak, ia hanyalah perubahan berbentuk kosmetik yang tidak menguntungkan rakyat Sabah,” tulisnya di Facebook.

Sebelum ini, seorang lagi pemimpin parti tempatan di Sabah meminta supaya ura-ura perubahan terbabit bukanlah gimik semata-mata.

Junz Wong berkata, pengumuman Muhyiddin akan dilihat sebagai 'syok sendiri' melainkan pindaan dibuat kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

 Pengumuman jangan hanya 'syok sendiri'
Pengerusi KEADILAN Sabah,  Christina Liew turut bertanya sama ada Sabah dan Sarawak kini ialah rakan kongsi setara semenanjung seperti dijangkakan dalam MA63.

“Rakyat ada hak untuk tahu implikasi atau akibat boleh dijangka daripada perubahan itu,” kata Ahli Parlimen Tawau itu dipetik.
 

Post a Comment

0 Comments