PAKATAN HARAPAN mula mengorak semula semangat dan iltizam Reformasi dengan menyatukan rakyat negara ini melalui pendekatan 'Khemah besar'.
Pendekatan yang diumumkan sebalik tamat pemukiman gabungan itu di Port Dickson pada Jumaat bakal mengumpulkan rakyat Malaysia tanpa mengira latar politik yang berazam untuk memulihkan demokrasi negara.
"Kami akan terus gigih berusaha menjuarai aspirasi rakyat dengan mengambil pendekatan ‘khemah besar’ untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira pegangan politik.
“Ini penting bagi memulihkan kembali sistem demokrasi berparlimen dengan menamatkan penggantungan Parlimen,” kata Majlis Presiden HARAPAN dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu ditandatangani Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.
Sehubungan itu tambah mereka, HARAPAN akan mengumpulkan tandatangan semua Ahli Parlimen yang menyokong pembukaan semula Parlimen.
Tandatangan itu akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong menerusi satu memorandum.
“(Ini) senafas menjunjung titah nasihat Agong bahawasanya darurat tidak menghalang parlimen untuk bersidang.
“Kami menegaskan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan prinsip dan agenda reformasi demi kepentingan rakyat, tanpa melibatkan kleptokrat,” kata mereka menurut kenyataan itu.
Sebagai rekod, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 24 Febuari lalu menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa.
![]() |
HARAPAN bakal kumpul tandatangan |
Namun sehingga kini, belum ada tanda-tanda Parlimen akan kembali bersidang dalam tempoh terdekat dan ia menyebabkan banyak isu berkaitan rakyat tidak dapat dibahasakan.