GRADUAN baharu layak mendapat gaji permulaan lebih baik dan bermaruah ketika memasuki pasaran pekerjaan, tegas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Nik Nazmi menggesa perbincangan mengenai pengangguran belia dan gaji permulaan lebih baik untuk graduan baharu diadakan kerana dua masalah itu bukan disebabkan pandemik Covid-19, tetapi isu sistemik yang memerlukan tindakan segera.
“Kita tidak boleh minta graduan bersyukur untuk menafikan kewujudan masalah ini.
“Dengan peningkatan kos sara hidup, kadar permulaan gaji yang baik merupakan hal yang penting. Kita sepatutnya berusaha memberikan gaji bermaruah kepada graduan.
“Mereka telah melalui proses pendidikan formal yang panjang, dan kebanyakan mereka keluar dengan hutang pendidikan. Mereka baru sahaja memulakan kehidupan dewasa, ia proses yang memerlukan seseorang itu mempunyai gaji bermaruah,” kata jurucakap Parlimen KEADILAN bagi pendidikan itu.
Beliau turut merujuk data Kementerian Pengajian Tinggi dimana kebanyakan graduan baharu mendapat antara RM2,001 dan RM2,500 dari 2014 hingga 2019, dengan gaji tertinggi adalah RM3,001 hingga RM5,000 pada 2015.
Bagaimanapun tambahnya, kebanyakan graduan baharu hanya meraih RM1,001 hingga RM1,500 sebulan tahun lalu.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dilapor media sebagai berkata, graduan yang mempunyai perkerjaan dengan gaji rendah waktu ini perlu bersyukur dan bersabar.
Beliau menjadikan pasaran kerja tahun lepas lemah akibat ekonomi negara yang menguncup kepada 5.6 peratus sebagai punca kepada gaji rendah itu.
![]() |
Perbincangan isu graduan perlu diadakan |
Katanya, memberi gaji lebih baik kepada graduan baharu akan memastikan produktiviti dapat ditingkatkan dan merangsang ekonomi.
0 Comments