ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) Pahang membuat dua laporan polis berhubung penularan satu video iklan bertemakan lagu Hari Raya Aidilfitri oleh sebuah syarikat perjudian 'online' di media sosial.
Laporan itu dibuat di di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam.
Ketuanya, Mohd Mustaqim Abdul Jalil berkata,iklan itu yang mengajak umat Islam supaya berjudi bagi mencari dana balik kampung untuk beraya bukan sahaja sangat menyinggung sensitiviti umat Islam terutama ketika bulan Ramadan malah dibimbangi akan menjerumus anak-anak muda untuk melakukan aktiviti tidak bermoral itu.
"Yang menakutkan saya adalah kesannya kepada anak muda kerana kalau kita lihat dalam video itu, rata-ratanya merupakan anak muda.
"Saya yakin video ini akan mempengaruhi anak muda untuk berjinak-jinak dengan kegiatan berjudi dalam talian. Walaupun mereka bermain dengan wang taruhan yang kecil, saya risau perkara ini akan menjadi barah yang tidak dapat kita ubati," katanya dipetik laporan Awani.
Sehubungan itu, AMK Pahang menggesa pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk segera mengambil tindakan tegas atas pengeluaran lagu ini oleh 'GDBET333' yang jelas melanggar Akta SKMM.
Penularan video bertemakan hari raya berdurasi hampir tiga minit itu dikecam masyarakat.
![]() |
AMK Pahang buat laporan polis |
Saifullah Mohd Yunus yang dipetik laporan mStar mendedahkan, dia serta pelakon-pelakon lain yang terlibat hanya mengetahui iklan terbabit mempromosikan perjudian dalam talian hanya ketika proses penggambaran selesai.
Beliau mengakui kesilapannya kerana tidak mengkaji terlebih dahulu jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan melalui iklan tersebut.