Undi18: Bersih gesa hentikan 'intimidasi' terhadap peserta demo

 


PIHAK polis digesa menghentikan 'intimidasi' terhadap peserta perhimpunan aman di hadapan Parlimen pada hujung minggu lalu yang membantah keputusan pengangguhan penurunan had usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Gesaan itu dibuat Gabungan pilihan raya bersih dan adil (Bersih 2.0) selepas polis memaklumkan akan menyiasat 11 peserta perhimpunan itu di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman kerana gagal memberikan notis 10 hari sebelum berhimpun dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pindaan) (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No.4) 2021.

"Bersih 2.0 menyeru pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghentikan intimidasi dan tekanan kepada aktivis anak muda yang berhimpun dalam Himpunan Tuntut Undi 18 pada 27 Mac lalu.

"Pihak PDRM perlu menghormati kebebasan rakyat untuk bersuara menyatakan tuntutan mereka, apatah lagi tuntutan tersebut adalah bagi menggesa kerajaan untuk menghormati keputusan parlimen berkenaan pelaksanaan Undi 18," kata Bersih dalam kenyataan.

Sabtu lalu, kira-kira 100 penyokong Undi18 diketuai Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Amir Abdul Hadi berhimpun secara aman di hadapan parlimen hari ini untuk menuntut hak belia untuk mengundi pemimpin yang akan menentukan masa depan negara.

Mereka sebelumnya berarak dari Padang Merbok dimana himpunan bagi menyokong RUU 355 pernah diadakan pada Febuari 2017. Mereka bertafakur secara simbolik selama 18 minit.

Bantahan ini dibuat pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 25 Mac bahawa penurunan usia mengundi ditunda ke tahun depan walaupun  pindaan perlembagaan untuk menurunkan usia pengundian telah diluluskan di Dewan Rakyat pada bulan Julai 2019.

Memetik laporan media, antara pemimpin yang dipanggil untuk memberi keterangan ialah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh.
 
"Pada 2019, saya merupakan salah seorang ahli parlimen yang telah bersetuju perlaksanaan Undi18 di Parlimen.

"Sebagai ahli parlimen yang bertanggungjawab, saya ke sana untuk melihat apa yang berlaku di kawasan parlimen saya yang mendapat liputan meluas daripada media. Bagaimanapun ketika saya sampai, anak-anak muda ini sudah mula mahu bersurai.

"Pada pandangan saya, selari dengan keputusan di parlimen bagi perlaksanaan Undi18, jika seseorang yang berusia 18 tahun telah cukup matang untuk dibenarkan memandu atau berkahwin, mereka juga berhak untuk mengundi," kata bekas Speaker DUN Selangor itu.

Beliau juga berharap polis dapat mengambil kira yang anak-anak muda ini hadir dan bersurai dengan aman, memakai pelitup muka dan mematuhi semua arahan polis

 Anak muda bantah penagguhan undi18
Sementara itu, Bersih juga mengingatkan pihak polis untuk tidak menyalahgunakan akta berkenaan dan menghormati Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada rakyat untuk bersuara dan berhimpun secara aman.

"Tindakan intimidasi seperti ini hanya membazir masa dan sumber oleh pihak polis yang perlu disalurkan terhadap kegiatan jenayah yang lebih membahayakan keselamatan rakyat dan negara," kata mereka lagi.